Thierry Henry |
Pemain legenda Arsenal, Thierry Henry sudah bersedia untuk satu lagi peluang dalam pengurusan, dan kali ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)
Itulah yang dikhabarkan oleh bekas rakan sepasukan beliau di Arsenal dahulu, Robert Pires.
Henry telah dipecat oleh AS Monaco pada Januari lalu selepas hanya memenangi empat dari 20 perlawanan, meninggalkan kelab itu bergelut di zon penyingkiran.
"Saya berjumpa dengan Thierry beberapa minggu lepas untuk menyaksi perlawanan menentang Tottenham di Emirates dan dia masih menunggu. Menantikan cabaran baru," kata Pires kepada Reuters di majlis perlancaran Global Sports Week di kediaman kedutaan Perancis di London pada petang Rabu.
"Saya menafikan apabila ada sesetengah pihak mengatakan bahawa Thierry melakukan kesilapan ketika di Monaco.
"Apabila anda bermula seperti Thierry, hanya mempunyai tiga bulan untuk membuktikan sesuatu dan sememangnya sukar.
"Terutama ketika Monaco dalam keadaan tidak bagus, mereka mempunyai ramai pemain yang mengalami kecederaan."
"Dia memberitahu saya dia mendapat pengalaman yang bagus bersama Monaco. Namun hanya tiga bulan.
"Dia sudah bersedia dengan kerja baru dan menunggu sesuatu. Saya rasa beliau berhak mendapat peluang kedua, mungkin di Liga Perdana,' sambung Pires.
Pires juga menyatakan bahawa beliau tiada perancangan peribadi untuk menjadi seorang pengurus.
"Saya tidak mempunyai perancangan untuk menjadi pengurus buat masa ini,' tambahnya.
"Ianya satu pekerjaan yang hebat tetapi sangat sukar. Setiap hari bersama para pemain, dengan penyokong, media, dan juga pemilik kelab.
"Saya terlibat dengan Arsenal lebih kepada duta kelab, dan percayalah...ianya lebih tenang. Ianya sempurna untuk saya.
"Saya sayang Arsenal, saya bersifat terbuka untuk bekerja bersama skuad utama, mungkin dengan Unai Emery pada satu hari nanti tetapi bukan sekarang kerana tidak ada dalam perancangan Arsenal. Dan saya menghormati keputusan tersebut.'
Pires juga mempertahankan pemain baru Arsenal, Nicolas Pepe, yang dikritik selepas Gunners seri 2-2 menentang Watford hujung minggu lepas.
Beliau mahu para penyokong bersabar dengan Pepe, walau masih belum menemui jaringan setakat ini.
"Dia sangat hebat ketika bermain bersama Lille. Dia salah seorang pemain terbaik mereka pada musim lepas, menjaringkan 21 atau 22 gol. Dia seorang pemain yang hebat,' kata Pires.
"Dia kini bermain untuk Arsenal di Liga Perdana dan dia perlu menyesuaikan diri. Ianya sukar. Jadi saya mahu setiap penyokong perlu bersabar dengan Pepe."