Newcastle United telah mengesahkan pelantikan Howe sebagai ketua jurulatih baharu mereka dengan kontrak sehingga 2024.

Pengendali berusia 43 tahun itu mengambil alih jawatan yang dipegang sementara oleh Graeme Jones, yang mengendalikan tiga perlawanan terakhir kelab tersebut berikutan pemecatan Steve Bruce.

Howe tidak mengendalikan mana-mana kelab sejak 2020, apabila dia meninggalkan Bournemouth berikutan penyingkiran kelab dari saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Newcastle kini menduduki tempat ke-19 dalam saingan Liga Perdana, lima mata dari zon selamat dan masih belum mencatatkan sebarang kemenangan musim ini.

“Adalah satu penghormatan besar untuk menjadi ketua jurulatih kelab yang mempunyai kedudukan dan sejarah seperti Newcastle United. 

"Ia adalah hari yang sangat membanggakan untuk saya dan keluarga saya,” kata Howe.

“Ini adalah peluang yang baik, tetapi terdapat banyak kerja yang perlu kami lakukan dan saya tidak sabar untuk pergi ke pusat latihan untuk memulakan latihan bersama pemain.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab atas peluang ini dan terima kasih kepada penyokong kelab atas sambutan luar biasa yang telah mereka berikan kepada saya. 

"Saya sangat teruja untuk memulakan perjalanan kami bersama-sama.”

Post a Comment

Previous Post Next Post