Kredit foto: AFC

Peminat bolasepak negara akan dibenarkan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu juga meliputi kehadiran penonton ke stadium bagi semua kejohanan sukan dengan beberapa syarat.

Beliau berkata, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.

"Kebenaran itu juga tertakluk kepada kawalan penyeliaan sepanjang masa," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menteri Pertahanan itu berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Selasa lalu, selepas mendengar pembentangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai permohonan kemasukan penonton ke stadium atau lokasi acara sukan.

"Atas pandangan serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat bersetuju membenarkan kehadiran penonton dengan syarat ditetapkan.

"SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian sahaja, penjarakan fizikal minima 1.5 hingga 2 meter di antara setiap penonton dan operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium sahaja.

"Selain itu, perkara yang amat perlu diberi perhatian adalah pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun," katanya.

Ismail Sabri berkata, kebenaran berkuatkuasa mulai 1 April itu dengan dua acara perlawanan bola sepak dalam MFL yang akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan atau proof of concept.

Selain itu, beliau berkata, KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.

Sumber dan kredit: Berita Harian

Post a Comment

Previous Post Next Post