Israel akan meneruskan serangan di Semenanjung Gaza.


Ketenteraan Israel menegaskan pihaknya akan meneruskan serangan di Semenanjung Gaza dan bersedia untuk melancarkan serangan ‘dalam apa jua keadaan sekali pun’.

Jurucakap tentera Zionis, Jonathan Conricus berkata, pasukan tentera sudah dikerah ke pelbagai kawasan di seluruh Gaza dan bersedia melancarkan serangan yang lebih intensif pada bila-bila masa.

“Kami sudah membuat persiapan berdasarkan pelbagai senario dan kami akan teruskan serangan di Gaza memandangkan Hamas juga tidak mahu mengalah.

“Tentera Israel sudah menyediakan pelbagai operasi untuk bertindak balas dengan pergerakan Hamas,” katanya.

Tentera Zionis dalam pada itu terus melancarkan bedilan roket dengan menyasarkan sejumlah bangunan tinggi di Gaza.

Sehingga kini, sebanyak tiga menara hancur dibedil roket Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sejak Isnin lalu, sebanyak 69 penduduk Palestin terbunuh termasuk 17 kanak-kanak serta enam warga Israel.

Penduduk yang cedera juga semakin bertambah kepada hampir 400 orang.

Kementerian itu menegaskan, jumlah korban boleh meningkat dari semasa ke semasa sekiranya Israel tidak menghentikan serangan.

Situasi yang memuncak menyaksikan penduduk Palestin meraikan Aidilftiri dalam kedukaan dan ketakutan kerana dikhuatiri nyawa mereka akan melayang pada bila-bila masa akibat serangan udara tentera Zionis.

Post a Comment

Previous Post Next Post