Arsenal merampas kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester United apabila menewaskan Watford 1-0 di Stadium Emirates, malam tadi.
Jaringan tunggal Emile Smith Rowe pada minit ke-56 sudah cukup untuk The Gunners meraih tiga mata berharga dan mengumpul 20 mata keseluruhan selepas 11 perlawanan musim ini.
Arsenal bermula dengan cemerlang untuk mendahului perlawanan namun gol Bukayo Saka dibatalkan kerana ofsaid selepas Video Pembantu Pengadil (VAR) digunakan untuk pengesahan.
Peluang terbaik The Gunners untuk memecahkan kebuntuan juga dipersia-siakan selepas sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-36 diselamatkan Foster.
Arsenal akhirnya berjaya mencipta jaringan dan mendahului perlawanan pada minit ke-56 apabila Smith Rowe merembat masuk ke sudut jauh dari tepi kotak penalti.
Tolakkan masuk Aubameyang berpunca daripada rembatan Martin Odegaard di minit ke-73 dibatalkan kerana ofsaid, sebelum Joshua King hampir-hampir menyamakan kedudukan untuk Watford apabila percubaannya dari sudut sukar sedikit tersasar selepas keadaan kelam kabut di kawasan gol Arsenal.
Di Goodison Park, Everton berkongsi satu mata dengan Tottenham Hotspur selepas kedua-dua pasukan itu terikat tanpa jaringan.
Dalam satu lagi perlawanan, Leicester City turut meraih satu mata apabila terikat 1-1 dengan Leeds di Elland Road.
Leeds terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Raphinha pada minit ke-26, namun kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Harvey Barnes menyamakan kedudukan buat Leicester.
Persaingan untuk merebut tempat teratas semakin terbuka selepas Liverpool turut kecundang ditangan West Ham dalam aksi terakhir perlawanan minggu ke-11 EPL.
Dengan keputusan itu, kedudukan Arsenal terus meningkat selepas mengumpul 20 mata, enam di belakang pendahulu Chelsea, manakala pula Watford tergelincir ke tangga ke-17 dengan 10 mata.