Wenger tidak yakin Mourinho akan 'parking bas'


Arsene Wenger tidak merasakan bahawa pengurus United, Jose Mourinho akan mengarahkan pasukan beliau untuk bermain secara bertahan apabila kedua-dua pasukan ini bertembung pada awal pagi esok, walaupun beliau terkenal dengan reputasi gemar 'meletakkan bas' pada perlawanan besar.

United yang berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, bakal berkunjung ke Stadium Emirates dengan semangat memuncak selepas mencapai kemenangan 4-2 keatas Watford dua hari lalu.



Namun setakat ini Mourinho masih belum pernah memenangi aksi di tempat lawan apabila menentang kuasa 'enam pasukan gergasi' semenjak menyertai United dengan hanya mengutip tiga mata daripada tujuh aksi menentang Chelsea, Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Tottenham.

Pun begitu, Wenger pada musim lalu mencatat sejarah apabila berjaya meraih kemenangan pertama menentang skuad kendali  Mourinho selepas 16 percubaan dengan kemenangan 2-0 di Stadium Emirates..

Ditanya sama ada beliau menjangkakan Mourinho akan bermain secara bertahan pada Ahad (jam 1.30 pagi) ini, Wenger membalas: 

"Tidak, saya tidak menjangkakan sesuatu yang istimewa."

"Saya hanya mahu pemain bersedia sebaik mungkin. Manchester United adalah sebuah pasukan yang kuat dan saya berharap kami mampu menangani masalah yang akan mereka berikan."

"Mereka pasti akan menyerang kami, bukan hanya akan bertahan."

"Ketika ini United berada dalam keadaan terbaik, kami juga sama, jadi ia pasti akan menjadi aksi yang menghiburkan."

Arsenal turut menerima kunjungan United dalam keadaan terbaik selepas mencatatkan kemenangan besar 5-0 keatas Huddersfield untuk melonjak ke kelompok empat teratas.

Arsenal perlu mengekalkan rekod kemenangan setelah cemerlang mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut selepas mengalami kekalahan 3-1 ditangan Manchester City bagi mengekalkan peluang untuk mencabar kejuaraan liga.

Begitu juga dengan United yang turut sama mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut selepas berjaya menewaskan Newcastle (4-1), Brighton (1-0) dan Watford (4-2) dan perlu mencari kemenangan bagi mengelakkan ketinggalan mata daripada pendahulu liga, Manchester City.

Post a Comment

Previous Post Next Post