Serge Gnabry buat keputusan mengenai masa depan beliau.


Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge mendedahkan bahawa Bayern Munich mahu Serge Gnabry kembali ke kelab itu musim depan daripada membiarkan pemain itu beraksi secara pinjaman.



Pemain sayap Jerman yang juga merupakan bekas pemain Arsenal, menghabiskan musim ini di Hoffenheim secara pinjaman dan menurut SportBILD, beliau kini bersetuju dengan Rummenigge dan mahu menjadi sebahagian daripada skuad Bayern selepas musim panas.

Gnabry, 22 tahun menyertai Arsenal pada usia 16 tahun pada 2011 dan meninggalkan The Gunners pada 31 Ogos 2016 untuk menyertai Werder Bremen dengan nilai perpindahan yang dianggarkan berjumlah £5 juta.

Walaupun pengurus Arsenal, Arsene Wenger tidak mahu melepaskan beliau, namun kekurangan peluang serta kesukaran untuk beraksi didalam skuad utama menyebabkan pemain ini menolak tawaran kontrak baru (penyambungan) bersama Arsenal.

Namun, beliau hanya beraksi semusim bersama Werder Bremen apabila Bayern Munich dikatakan telah mengaktifkan klausa pelepasan beliau untuk membawa pemain ini menyertai mereka pada 11 Jun 2017.

Bersama Werder Bremen, beliau membuat 27 penampilan dengan 11 gol berjaya dijaringkan beliau selain mencipta bantuan gol sebanyak 2 kali.

Selepas melengkapkan perpindahan menyertai Bayern, beliau kemudianya dipinjamkan kepada Hoffenheim bagi musim 2017/18.

Namun, bersama kelab itu, aksi beliau sedikit terganggu dengan masalah kecederaan yang mana menyaksikan beliau setakat ini hanya membuat 10 penampilan dengan dua gol serta tiga bantuan gol berjaya dicipta beliau.

Dalam perkembangan terkini, Bayern dilaporkan bertekad untuk membawa Gnabry pulang ke Allianz Arena dan tidak mahu meminjamkan lagi pemain tersebut dan Gnabry sendiri dilaporkan telah bersedia dengan situasi itu.

SportBILD turut melaporkan dimana Gnabry bersedia untuk berjuang merebut tempat didalam pasukan Bayern, tanpa mengira apa yang berlaku terhadap Arjen Robben dan Franck Ribéry yang masih lagi belum memutuskan masa depan mereka bersama kelab itu bagi menghadapai saingan musim hadapan.

Sekiranya kedua-dua pemain tersebut bertindak meninggalkan Bayern, ia akan memberi kesempatan buat Gnabry untuk terus bersama kesebelasan utama Bayern. 

Namun sekira kedua-dua pemain itu bertindak untuk kekal, Gnabry mesti bersedia untuk berjuang merebut tempat bersama pasukan itu dengan saingan daripada kedua-dua pemain senior Bayern ini.

"Saya sengaja memilih Bayern - matlamat saya adalah untuk memenangi gelaran," kata Gnabry mengenai kedudukan beliau bersama kelab Bayern.


Post a Comment

Previous Post Next Post