Petr Cech mahu rakan sepasukan 'sapu bersih'

Petr Cech percaya bahawa Arsenal perlu memenangi kesemua baki lima perlawanan mereka sekiranya mahu menamatkan saingan liga di kalangan lima pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.


Arsenal kini ketinggalan sembilan mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga kelima liga ketika ini namun Arsenal masih kekurangan satu perlawanan berbanding kelab tersebut.



Seandainya menang ketika menentang West Ham nanti, kedua-dua kelab ini hanya dipisahkan enam mata dengan baki mata maksimum yang mampu dipungut oleh kedua-dua pasukan sebanyak 12 mata (untuk baki empat perlawanan liga musim ini).

Menduduki tempat kelima liga, mengesahkan pasukan untuk beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan setelah Liga Perdana Inggeris mendapat kuota empat pasukan teratas liga layak beraksi di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah.

Dan jika menamatkan saingan liga ditangga keenam, Arsenal perlu mengharungi perlawanan kelayakkan (second qualifying round) bagi saingan Liga Europa yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2018.

Namun Arsenal berpeluang untuk beraksi pada saingan tertinggi  bolasepak Eropah musim depan (Liga Juara-Juara) seandainya berjaya muncul juara Liga Europa musim ini.

Ahad lalu, Arsenal mengalami kekalahan liga buat kali kelima berturut-turut apabila tewas 2-1 kepada Newcastle dan penjaga gawang Arsenal Cech memberitahu London Evening Standard pada Rabu lalu: 

"Kami berada dalam dua kejohanan, jadi kami perlu segera berubah dan menyesuaikan diri antara dua kejohanan tersebut dan melakukan yang terbaik. Kami berada di kedudukan yang mana kami perlu memenangi kesemua baki perlawanan yang tinggal dan berharap ia mampu membawa kami ke atas (liga)."

"Kami berada pada waktu yang sangat sukar kerana semua orang (pasukan) mempunyai kelebihan yang besar."

"Di Liga Europa, kami mempunyai perlawanan separuh akhir, jadi kami perlu memastikan kami bersedia."

Bekas pemain Chelsea ini juga sukar untuk mengulas dan memahami mengenai prestasi terburuk Arsenal dalam sejarah 30 tahun yang di alami ketika ini dengan kekalahan berturut-turut disamping rekod ditempat lawan juga tidak menyebelahi Arsenal.

"Sukar untuk dijelaskan mengapa, kerana musim lalu kami merupakan salah sebuah pasukan terbaik dari segi rekod apabila beraksi ditempat lawan." 

"Tetapi entah bagaimana ia telah berubah sepenuhnya musim ini dan kami nampaknya tidak dapat mencari jawapan untuk itu."

"Apabila anda melakukan banyak kesilapan (pasukan), ditempat sendiri atau ditempat lawan, anda akan dihukum dan hari Ahad lalu ianya telah dibuktikan."

"Sudah tentu anda cuba untuk mengatasinya, tetapi dengan jelas perkara yang sama tetap berlaku."

"Kami tidak melakukan kesilapan ini, kesilapan pasukan  apabila kami bermain di tempat sendiri."

Post a Comment

Previous Post Next Post