Kontrak pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere bakal berakhir dalam beberapa bulan sahaja lagi namun Arsene Wenger tetap yakin bahawa pemain itu akan kekal bersama Arsenal musim depan.
Arsene Wenger semalam (menurut laporan Independent) mengatakan bahawa beliau yakin Jack Wilshere akan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal walaupun terdapat kelewatan dalam menandatangani kontrak tersebut.
Kontrak semasa Wilshere (26 tahun) bakal berakhir pada penghujung bulan Jun ini (30 Jun 2018) yang mana turut menyaksikan saingan liga juga berakhir.
Beliau yang telah ditawarkan kontrak baru oleh Arsenal bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan untuk menandatangani kontrak tersebut.
Wenger pada sidang media pra perlawanan semalam berkata :
"Saya tidak dapat memberikan sebarang berita. Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya."
"Dia masih belum menandatangani dan kami mahu dia kekal bersama kami. Tawaran itu adalah kontrak jangka panjang dan saya berharap dia akan menandatanganinya dalam masa terdekat ini."
"Sebagai kelab, anda mahu pemain kekal dan dibayar dengan baik dan saya fikir semua orang akan bersetuju kami telah membayar pemain kami dengan baik."
Dalam sidang media itu juga Wenger telah menjawab spekulasi yang mengatakan masa depan beliau bersama Arsenal bakal berakhir dengan Patrick Vieira bakal menggantikan beliau musim depan.
"Situasi saya ketika ini (bersama Arsenal) tidak begitu membimbangkan saya."
"Kebimbangan saya ketika ini adalah untuk mengubah musim menjadi lebih berjaya."
Dan apabila ditanya sama ada beliau akan membuat keputusan mengenai masa depan beliau sendiri (berundur - bersara musim depan), Wenger menjelaskan: "Itu tidak penting."
Mkhitaryan direhatkan sementara ekoran kecederaan lutut yang dialami oleh pemain tersebut pada perlwanan pertama peringkat suku akhir menentang CSKA Moscow namun Wenger menjelaskan bahawa pemain sedang menjalani proses pemulihan ketika ini dan semakin pulih.
"Mkhitaryan sudah mampu berlari, dia perlu meningkatkan kecergasan dalam tempoh tiga atau empat hari akan datang dan mungkin (sesuai untuk) Khamis nanti (menentang Atletico Madrid), itu yang paling awal."
Arsenal ketika ini berada 14 mata di belakang Tottenham yang menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris bakal berdepan West Ham dilaman sendiri Ahad ini.
Wenger turut menjelaskan bahawa keutamaan Arsenal ketika ini adalah saingan Liga Europa dan beliau bakal mempersiapkan pasukan terbaik dalam menghadapi saingan tersebut yang dijadualkan pada 27 April ini (waktu Malaysia) bagi perlawanan pertama peringkat separuh akhir.
"Bagi kami (Liga Europa) adalah keutamaan terbesar sekarang, hujung minggu ini adalah persediaan untuk hari Khamis (menentang Atletico Madrid), saya merehatkan kebanyakan pemain selepas perlawanan menentang CSKA Moscow dan kini mereka memerlukan permainan." jelas Wenger.