Piala Dunia 🎥 : Portugal vs Sepanyol - Hat trick Cristiano Ronaldo selamatkan Portugal

Hat trick Cristiano Ronaldo selamatkan Portugal. Kredit foto : BBC

Cristiano Ronaldo membuktikan bahawa beliau masih merupakan pemain terbaik dunia apabila meledakkan tiga gol untuk membantu Portugal mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi penuh dramatik Kumpulan B Piala Dunia 2018 FIFA di Stadium Fisht, Sochi, Rusia awal pagi tadi.

Selain berjaya mencatatkan nama selaku penjaring hat trick, beliau turut berjaya meletakkan nama beliau selaku pemain keempat yang berjaya menjaringkan gol dalam empat edisi Piala Dunia selepas Uwe Seeler dan Miroslav Klose dari Jerman serta Pele dari Brazil.

Sepanyol yang berada dalam krisis kejurulatihan, dua hari menjelang sepak mula Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA hampir memberi kesan buat mereka apabila dipaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol sebelum ini membuat kejutan apabila memecat jurulatihnya, Julen Lopetegui kerana tindakannya membelakangi pihak pengurusan Sepanyol apabila menandantangani kontrak bersama kelab Real Madrid bagi mengendalikan pasukan tersebut pada musim depan.

Lopetegui berjaya membimbing Sepanyol dengan rekod yang cukup cemerlang serta berjaya menaikkan kembali imej pasukan negara itu setelah aksi merosot pada edisi sebelum ini (saingan Piala Dunia 2014) berjaya merekodkan perlawanan tanpa kalah sepanjang kempen kelayakan dan aksi persahabatan bagi edisi 2018.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol kemudiannya melantik Fernando Hierro sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan Sepanyol bagi mengharungi kejohanan di Rusia ini.

Tindakan Sepanyol (No.10 dunia) jelas memakan diri apabila mereka ketinggalan dua kali pada babak pertama kepada pasukan No. 4 dunia, Portugal sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3.

Walaupun Sepanyol dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini, namun aksi Portugal melalui kapten mereka, Ronaldo berjaya mencemaskan skuad kendalian Hierro itu apabila bintang Real Madrid itu menjaringkan gol menerusi penalti seawal minit keempat permainan selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti.

Sepanyol berjaya bangkit pada minit ke-24 menerusi gerakan lincah penyerang kelahiran Brazil, Diego Costa yang bijak memperdayakan lima pertahanan Portugal sebelum merembat masuk gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kesilapan penjaga gol Manchester United, David de Gea yang gagal menampan dengan kemas percubaan Ronaldo pada minit ke-44 menyaksikan skuad kendalian Fernando Santos itu kembali mendahului 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung ke babak kedua perlawanan, Sepanyol tampil dengan lebih garang apabila melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila Costa sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-55 untuk jaringan  2-2.

Tiga minit selepas Costa menjaringan gol penyamaan itu, Sepanyol mula berada di depan selepas pertahanan Real Madrid, Nacho melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, menewaskan Rui Patricio untuk menjadikan kedudukan Sepanyol 3-2 Portugal.

Bagaimanapun ketika kedudukan seakan memihak kepada Sepanyol, Ronaldo muncul wira Portugal apabila meledak gol penyamaan hasil sepakan percuma pada minit ke-88, sekali gus mengikat perlawanan (berkesudahan) seri 3-3.

Highlights Perlawanan

Kedudukan Kumpulan B

Post a Comment

Previous Post Next Post