Chelsea bukan pasukan pencabar kejuaraan liga walaupun bermula cemerlang dibawah Sarri

Chelsea menewaskan Arsenal 3-2 dalam pertemuan London Derby di Stamford Bridge dengan pemain pertahanan Marcos Alonso meledak jaringan kemenangan pada minit ke-81.

Arsenal sebelum itu ketinggalan 2-0 diawal perlawanan sebelum bangkit menyamakan kedudukan dipenghujung babak pertama untuk menamatkan separuh masa pertama perlawanan dengan 2-2.

Chelsea mendahului permainan pada minit kesembilan menerusi Pedro yang menyempurnakan hantaran lintang Alonso sebelum penyerang mereka, Alvaro Morata meledak gol liga keduanya tahun ini selepas mendapat umpanan Cesar Azpilicueta 11 minit kemudian.

Arsenal berjaya bangkit untuk merapatkan jurang pada minit ke-37 menerusi Henrikh Mkhitaryan yang menewaskan Kepa Arrizabalaga, penjaga gol termahal dunia yang membuat penampilan sulungnya di Stamford Bridge.

Dan empat minit kemudian, Alex Iwobi menjadikan kedudukan 2-2 untuk menamatkan saingan separuh masa pertama.

Kebangkitan Arsenal yang cuba meraih mata pertama pada perlawanan kedua liga musim ini bagaimanapun lebur apabila pada babak kedua, Alonso memastikan kemenangan buat pasukannya setelah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 perlawanan.

Kemenangan Chelsea ini merupakan kemenangan pertama pengendali baharu mereka, Maurizio Sarri di Stamford Bridge.

Walaupun berjaya mencatat dua kemenangan dalam saingan liga dan cemerlang menewaskan Arsenal, namun Sarri percaya bahawa kekurangan dan kelemahan pada barisan pertahanan pasukan beliau menunjukkan Chelsea masih jauh untuk menjadi sebuah pasukan yang lengkap bagi mencabar pasukan pilihan juara musim ini, Manchester City dan Liverpool.

"Tidak pada masa ini," kata Sarri, yang merasakan 15 minit terakhir merupakan aksi yang 'mengerikan' buat pasukan kendalian beliau yang membuang dan mempersiakan kelebihan mereka.

"Saya fikir kita perlu bekerja keras lagi, memperbaiki asas dan saya tidak bercakap tentang barisan pertahanan sahaja"

"Fasa pertahanan adalah mengenai pasukan. Jika kita menekan terlalu tinggi, kita dapat melakukannya dengan baik, tetapi pada masa lain ketika kita tidak dapat menekan, kita mengalami masalah."

Berbeza dengan pengendali Arsenal, Unai Emery yang masih lagi mencari kemenangan pertama beliau dalam saingan liga.

"Saya rasa kita perlu memberi pemain ketenangan dan terus bekerja," kata Emery.

"Respon selepas ketinggalan 2-0 sangat baik. 2-2 (separuh masa) agak mengecewakan untuk kami kerana kami mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol."

Arsenal bakal berdepan West Ham dilaman sendiri minggu depan (25 Ogos) sementara Chelsea bakal berkunjung ke St James' Park untuk menentang Newccastle.

Post a Comment

Previous Post Next Post