Roma sasarkan Xhaka selepas kempunan Malcom

Pengarah Bola Sepak AS Roma, Monchi telah menetapkan sasarannya untuk menandatangani pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka menurut laporan dari Itali.


Akhbar Itali, Il Tempo mendakwa Monchi kini berada di Boston bersama Presiden Kelab, James Pallotta dan Pengurus Besar, Mauro Baldissoni bagi membincangkan mengenai perkembangan urusniaga perpindahan kelab tersebut.

Selepas 'kecundang' kepada Barcelona dalam usaha mereka untuk membawa Malcom, ​​mereka kini dilaporkan telah memutuskan untuk menukar rancangan perpindahan mereka dan mahu memberi tumpuan untuk mendapatkan Granit Xhaka dari Arsenal.

Petikan laporan Il Tempo
Arsenal menandatangani pemain antarabangsa Switzerland dari Borussia Mönchengladbach dengan nilai perpindahan yang dianggarkan mencecah €45 juta dua tahun lalu dan Xhaka baru-baru ini telah memperbaharui kontraknya di Emirates.

Selain itu juga, Xhaka pada perlawanan awal pagi tadi ketika menentang Lazio turut diberikan peranan sebagai kapten pasukan.

Ini jelas menunjukan pemain ini merupakan antara sebahagian daripada perancangan Unai Emery bersama Arsenal bagi mengharungi musim 2018/19.

Namun, Monchi dilaporkan mahu mencuba untuk menilai sama ada kelab  Itali itu boleh 'merampas' pemain berusia 25 tahun itu pada harga yang berpatutan daripada Arsenal.

Mereka sebelum ini memberi tumpuan kepada Steven Nzonzi namun gagal dalam rundingan bersama pemain tersebut ketika membincangkan mengenai terma peribadi yang mana Nzonzi telah meminta € 4.5 juta setahun selepas cukai.

Dan mereka percaya Xhaka pasti tidak akan meminta gaji yang melampaui kemampuan mereka sebagaimana tuntutan pemain Perancis itu (Nzonzi).

Roma ketika ini sudah mempunyai Maxonal Gonalons pada bahagian tengah pasukan mereka namun mereka  dilaporkan mahu mencari pemain yang mampu beri keseimbangan pada jentera tengah selain mampu membantu barisan pertahanan mereka.

Laporan itu tidak mencadangkan sama ada Arsenal mahupun Xhaka berminat dalam perpindahan  tersebut buat masa kini, ia kelihatan seperti Xhaka adalah salah satu sasaran pemain tengah buat AS Roma.

Post a Comment

Previous Post Next Post