Mesut Ozil dedahkan perasaan sebenar terhadap Arsene Wenger

Bintang Arsenal, Mesut Ozil ucapkan terima kasih dan penghargaan beliau kepada Arsene Wenger diatas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh mereka bersama.




Wenger membawa Ozil ke England pada tahun 2013 dengan nilai sekitar £42 juta bagi menandatangani perancang Jerman dari kelab Sepanyol, Real Madrid.


Pemain berusia 30 tahun itu sering dikritik kerana dianggap kurang komitmen dan keinginan (kesungguhan) dalam beberapa perlawanan terutamanya di musim-musim terakhir Arsene Wenger menjadi pengendali The Gunners.

Walaupun musim ini beliau bermula dengan penuh kontroversi, melibatkan penampilan beliau bersama skuad kebangsaan Jerman, namun beliau berjaya memulakan kempen liga bersama Arsenal dengan cemerlang.

Terutamanya pada perlawanan yang menyaksikan beliau membantu kelab mencatatkan kemenangan ke-10 berturut-turut dengan menewaskan Leicester City, 3-1 pada hari Selasa lalu.

Pengurus yang bertanggungjawab membawa beliau, akhirnya meninggalkan kelab pada musim lalu dan Ozil telah memberi penghormatan kepada bekas bosnya itu.

Dalam sesi soal jawab Ozil bersama peminat dan penyokong melalui laman Twitter, beliau meluahkan perasaan terima kasih dan penghargaan tersebut setelah ditanya oleh peminat mengenai pendapat beliau terhadap peranan dan pengaruh Arsene Wenger.

"Dia sentiasa melindungi dan menyokong saya sebaik mungkin yang dia mampu. Saya sangat bersyukur dia adalah jurulatih saya. Gembira untuk melihatnya menjadi pengurus kelab lagi. "
Ozil menandatangani kontrak baru bersama Arsenal pada bulan Januari lalu yang menjadikan beliau pemain paling tinggi pernah dibayar kelab dengan menerima gaji sebanyak £ 330,000 seminggu.

Dan beliau telah membuktikan mengapa The Gunners sanggup mengeluarkan angka besar itu dengan mempamerkan persembahan yang menakjubkan dalam beberapa minggu terkini.

Unai Emery, 46 tahun yang mengambil alih tugas dan tanggungjawab daripada Wenger pada bulan Mei, mahu melihat lebih banyak lagi hasil daripada Ozil selepas persembahan hebat beliau ketika menentang Leicester.

"Berkenaan Mesut, ia adalah persembahan yang sangat baik dan kemenangan yang sangat baik dicapai bersama-sama. Dan juga, kita akan terus mendorong dan menuntut diri kita sendiri dan juga dia, secara berterusan."

"Ya, sangat penting (menjadi pemimpin) dalam situasi ini. Tetapi kami ada ramai (pemain) dalam pasukan dengan kapasiti ini."

"Saya fikir dia (Ozil) boleh bermain setiap perlawanan dengan komitmen ini dan dengan kualiti ini, sama ada dia kapten atau tidak."

Emery merehatkan Ozil pada perlawanan Liga Europa menentang Sporting Lisbon dan kemenangan 1-0 keatas kelab Portugal itu menjadikan Arsenal kini berjaya mencatatkan kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan.

Arsenal bakal menerima kunjungan Crystal Palace pada Ahad ini jam 9.30 malam waktu Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post