Pendedahan Sanllehi mengenai urusan perpindahan Arsenal ketika ini berbanding era Arsene Wenger

Sanllehi mendedahkan bagaimana urusan perpindahan Arsenal diuruskan ataupun dijalankan sekarang berbanding ketika era Arsene Wenger dan beliau turut menjelaskan perkembangan Aaron Ramsey.



Ketua Bolasepak Arsenal, Raul Sanllehi telah memberikan gambaran bagaimana urusan perpindahan ketika ini dilakukan di Emirates berikutan keberangkatan Arsene Wenger.

Sepanjang dua dekad Wenger berada di Utara London, beliau mempunyai kawalan penuh terhadap mana-mana pemain yang ingin ditandatangani dan juga siapa yang akan menuju ke pintu keluar.

Namun situasi tersebut mula berubah pada musim terakhir beliau di Emirates selepas Ivan Gazidis melantik Sven Mislintat, yang tiba dari Borussia Dortmund menjadi Ketua Arsenal bagi urusan pengambilan pemain baru.

Kini gambaran keseluruhan The Gunners sangat berbeza, dengan Mislintat menjadi sebahagian daripada struktur pengurusan yang turut merangkumi Sanllehi, Ketua Jurulatih - Unai Emery dan Pengarah Urusan - Vinai Venkatesham.

Dan dengan jendela perpindahan Januari semakin hampir, Sanllehi menjelaskan bahawa ketika ini Arsenal lebih kepada usaha berpasukan bagi urusan pembelian mahupun pengambilan pemain, termasuklah usaha mengenal pasti sasaran yang berpotensi dan kemudian cuba untuk membawa mereka masuk.

"Kami memiliki sebuah pasukan profesional yang lengkap, yang melihat pasaran, menganalisis sebarang kemungkinan dan pemain," jelas Sanllehi ketika bercakap kepada Sky Sports.

"Ketua jurulatih meneruskan falsafah yang kita ada dan cara kita mahu bermain. Jika kita melihat sesuatu peluang, ada perdebatan yang sihat."

"Setiap keputusan yang kami buat melibatkan semua pakar di kelab dan kami akan sentiasa membuat keputusan yang tepat untuk faedah jangka panjang kelab."

Walaupun bermula dengan kekalahan, namun Arsenal kini berjaya mempamerkan aksi yang cukup mengagumkan di bawah Emery dan mampu melonjak ke tangga ketiga liga seandainya mampu mengalahkan Leicester City dengan empat gol di Emirates pada lewat pagi esok.

# Pasukan P M S K J B +/- Mata
1 Manchester City 9 7 2 0 26 3 +23 23
2 Liverpool 9 7 2 0 16 3 +13 23
3 Chelsea 9 6 3 0 20 7 +13 21
4 Tottenham Hotspur 9 7 0 2 16 7 +9 21
5 Arsenal 8 6 0 2 19 10 +9 18

Pun begitu, sebarang keputusan menang yang dicatatkan The Gunners sudah pasti melonjakkan mereka satu tangga untuk berada dikelompok empat teratas dengan dibezakan dua mata bersama pendahulu liga, Manchester City dan Liverpool.


Seandainya Emery berjaya mengekalkan kedudukan dengan berada dikelompok empat teratas sehingga Januari nanti, sudah tentu ianya bakal memberikan tekanan kepada pihak pengurusan bagi membantu pengendali berusia 46 tahun itu mendapatkan pemain-pemain yang dikehendaki.

Serta ianya juga bagi membantu memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, seandainya kekal dalam  kelompok empat teratas liga.

Dan apabila ditanya mengenai potensi untuk berbelanja besar pada jendela perpindahan Januari, Sanllehi memberi bayangan bahawa setakat ini tiada rancangan jelas untuk memperkuatkan pasukan (pembelian pemain baru).

"Hari ini bukanlah hari untuk kita memberikan perincian jelas mengenai rancangan pembelian (perpindahan)," katanya.

"Kami akan mempunyai perdebatan tersebut jika itu adalah keadaannya."

"Buat masa ini, kita masih belum bermula lagi. Kecuali sesuatu yang istimewa muncul, pada dasarnya, jendela (perpindahan) musim sejuk bukanlah satu yang kita benar-benar berminat."

"Kami mempunyai model perniagaan yang bergantung sepenuh kepada diri sendiri, yang sangat teguh dan kami yakin kami dapat berjaya di bawah model perniagaan itu."


Salah seorang pemain yang mungkin dilepaskan (dijual) pada jendela perpindahan Januari nanti adalah Aaron Ramsey yang mana rundingan pembaharuan kontrak beliau telah dihentikan.

Dan tindakan menjual Ramsey itu dilihat langkah terbaik kelab daripada kehilangan pemain tersebut secara percuma pada penghujung musim.

Pun begitu, pemain kebangsaan Wales itu menyatakan bahawa beliau tidak berhajat untuk meninggalkan kelab dan akan terus bermain sehingga ke akhir musim sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan beliau.

Kegagalan The Gunners dalam mengendalikan situasi Ramsey mendapat kritikan hebat daripada penyokong dan peminat kerana menyebabkan kelab bakal kehilangan salah seorang ataupun aset berharga secara percuma.

Namun, ketika menjelaskan secara terperinci mengenai penarikan tawaran kontrak, Sanllehi menjelaskan bahawa sebarang keputusan yang telah dibuat adalah dilakukan demi kepentingan terbaik kelab.

"Saya ingin mengelak daripada bercakap tentang kes individu," katanya ketika ditanya mengenai Ramsey.

"Satu perkara yang saya boleh beri jaminan adalah, keputusan yang kami buat dengan mana-mana pemain adalah selepas rundingan menyeluruh, berbincang dengan semua profesional yang telah kami buat bagi menghasilkan keputusan terbaik."

"Tidak ada keputusan yang dibuat hanya dalam sehari. Semua keputusan dibuat mengikut rasional sukan dan perniagaan. Pada akhirnya, tanggungjawab kita adalah terhadap kelab."

"Kami berada di sini untuk membawa Arsenal ke peringkat seterusnya dan semua keputusan diambil untuk tujuan itu. "

Post a Comment

Previous Post Next Post