Adakah Unai Emery sedia tanggung risiko menurunkan Lucas Torreira?

The Gunner mungkin kehilangan khidmat Torreira ketika bertemu Liverpool pada 30 Disember ini.



Lucas Torreira ketika ini mengumpul empat kad kuning dalam saingan Liga Perdana Inggeris namun Unai Emery tidak akan bermain selamat terhadap pemain tengah Arsenal ini.

Pengendali The Gunners, Unai Emery menegaskan bahawa beliau tidak akan meminta Lucas Torreira bermain dengan berhati-hati bagi mengelakkan menerima kad kuning ketika berdepan Brighton & Hove Albion.

Sekiranya Torreira menerima kad kuning pada perlawanan tersebut, sudah tentu khidmat beliau terpaksa diketepikan satu perlawanan akibat penggantung perlawanan (lima kad kuning) dan perlawanan berikutnya selepas itu adalah menentang Liverpool dilaman lawan.

Selain Torreira, pemain tengah Matteo Guendouzi juga dalam situasi yang sama dengan tinggal satu kad kuning sahaja lagi untuk menerima penggantungan satu perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Seandainya kedua-dua pemain tersebut menerima kad kuning pagi nanti, perlawanan menentang Liverpool pasti sukar.



Namun begitu, Emery mengatakan risiko itu tidak akan mempengaruhi rancangannya.

"Kami akan memainkan perlawanan seterusnya di Brighton, dan kami akan bermain penuh (seperti biasa), tanpa perlu lebih berhati-hati," katanya.

"Ia adalah tiga mata yang sama ketika di Brighton mahupun di Liverpool, dan kami akan bermain di Brighton dahulu, dan ia adalah perlawanan yang sukar. Kami memerlukan setiap pemain dengan tumpuan 100 peratus untuk melakukan semua di padang untuk menang."

Apabila ditanya sama ada Torreira boleh bermain dengan cara yang tidak begitu aggresif, Emery menjawab: 

"Saya tidak tahu tetapi saya tidak mahu dia memikirkan kemungkinan tindakan untuk satu kad kuning. Saya tidak mahu fikiran begitu."

Emery yang pertama kali mengemudikan pasukan Inggeris dan beraksi dalam Liga Perdana bakal merasai jadual padat dimusim perayaan, Hari Krismas buat pertama kalinya dalam sejarah beliau.



Bagaimanapun beliau tidak terlalu tertekan dengan situasi tersebut.

"Saya akan bersenang-senang dengan anda (media), bekerja dan mengendalikan perlawanan, dan saya fikir ia amat penting kepada penyokong untuk bermain  masa ini," katanya.

"Untuk mengadakan pesta, bermain dengan pasukan lain, dengan penyokong kami, Brighton sempurna, bermain Rabu, di Liverpool, sempurna, di sini pada Januari, tahun baru, menentang Fulham sempurna. Kami akan menikmatinya dan menikmati hanya jika kita menang ! "

Pierre-Emerick Aubameyang, penjaring gol terbanyak liga setakat ini telah menjaringkan dua gol ketika menentang Burnley tempoh hari untuk mengumpul 12 gol sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, Emery lebih fokus untuk memperbaiki barisan pertahanan pasukan daripada menetapkan sasaran untuk penjaring terbanyak pasukan ketika ini.

"Saya mahu setiap pemain menjadi protagonis di padang, dengan jaringan, dengan bantuan, dengan terbaik dalam perlawanan," tambahnya.

"Kelemahan kami, dan (apa yang kita perlu teruskan), adalah untuk mendapatkan lebih banyak  rekod tanpa bolos dan memberikan kurang peluang kepada pihak lawan. 

"Ini satu kerja yang perlu kita lakukan dan melakukan dengan lebih baik."

Perlawanan Arsenal menentang Brighton & Hove Albion akan dilangsungkan jam 1.15 pagi esok (malam ini) waktu Malaysia.




Post a Comment

Previous Post Next Post