Wakil Fenerbahce hubungi ejen Ozil, bakal bertemu minggu depan.

MENURUT laman web Turki, Asist Analiz, Pengarah Sukan Fenerbahce, Damien Comolli telah menghubungi ejen Mesut Ozil mengenai potensi berpindah ke kelab Turki pada jendela perpindahan Januari nanti.



Mereka melaporkan bekas Pengarah Sukan, Tottenham dan Liverpool akan terbang ke England minggu depan untuk mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak, Ozil dan Arsenal, dengan  usaha mahu mencapai kesepakatan mengenai perpindahan pemain berusia 31 tahun itu.

Damien Comolli , Pengarah Sukan Fenerbahce yang pernah berkhidmat untuk Tottenham dan Liverpool.
Ozil telah ditinggalkan dari skuad Arsenal untuk enam perlawanan terakhir sebelum membuat penampilan singkat awal pagi tadi dan masa depannya di Emirates kelihatan tidak menentu ketika ini.

Bekas pemain tengah Real Madrid itu boleh meninggalkan Emirates pada tahun baru ini setelah  hanya membuat satu penampilan Liga Perdana musim ini di bawah Unai Emery.

Laporan Asist Analiz itu mengatakan bahawa Arsenal sanggup membayar sebahagian gaji Ozil kerana Fenerbahce tidak dapat menanggung jumlah sebenar disebabkan oleh keadaan kewangan mereka yang tidak begitu kukuh.

Ozil juga dikaitkan dengan perpindahan ke MLS dalam beberapa hari kebelakangan ini namun beliau bertegas bahawa dia akan kekal dan mahu bersama Arsenal sehingga berakhirnya kontrak beliau.

Post a Comment

Previous Post Next Post