Perokok lebih berisiko tinggi maut - KP Kesihatan


Penelitian dan analisa awal Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau 17 orang adalah terdiri daripada golongan perokok.

“Analisa juga mendapati bagi kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok (17.6 peratus berbanding 12.1 peratus).

“Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan COVID-19 dan penyakit lain,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilancarkan pada 29 Mei lepas, mendapati 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi jangkitan COVID-19 yang teruk.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kempen berhenti merokok tetap dijalankan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Nasihat kami kepada orang ramai ialah berhenti merokok...kalau kita boleh berhenti rokok, pasti kesihatan kita lebih baik.

“Kalau kita lihat pada jangkitan dalam kalangan mereka yang merokok, kalau mereka mendapat jangkitan COVID-19, kami tahu komplikasi ataupun kategori dari satu hingga lima, jadi komplikasi mereka yang merokok itu lebih tinggi berbanding mereka yang tidak merokok,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata merokok boleh menyebabkan kerosakan fungsi paru-paru dan komplikasi itu mungkin berakhir dengan kematian jika dijangkiti COVID-19.

-- BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post