Pengenalan Orkid ataupun Anggerik

Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (edisi keempat), ianya membawa maksud tumbuhan daratan atau epifit dari famili Orchidaceae yang bunganya berwarna terang dan cantik serta turut dikenali dengan panggil anggerik.

Kini nama Inggeris (Orchid) digunakan secara meluas dengan ejaan Orkid manakala ada juga yang masih mengamalkan panggilan Anggerik.

Taman Botani Diraja Kew menyenaraikan 880 genus dan hampir 22,000 spesies, akan tetapi jumlah yang tepat tidak diketahui (mungkin sehingga 25,000) disebabkan pertikaian taksonomi.

Pokok orkid sebenarnya dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang mempunyai habitat asal di kawasan hutan.

Namun ianya sering di tanam sebagai pokok hiasan yang akhirnya melahirkan pokok orkid hibrid yang dicipta bertujuan untuk komersial dan lebih cantik, sesuai sebagai pokok hiasan.

Orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu famili yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies.

Terdapat lebih daripada 111 genus dan 808 spesis orkid di Malaysia. Kebiasaannya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya.

Walau bagaimanapun, bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan atau dilihat untuk mengenalpasti genus tanaman orkid.

Secara umum, orkid komersil boleh dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar, iaitu orkid simpodium dan monopodium.

Simpodium adalah cara pertumbuhan yang berakhir dengan pengeluaran bunga. Orkid dalam kumpulan ini boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial).

Batang pokok berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Ia mempunyai bebawang semu yang panjang beruas-ruas atau pendek tanpa beruas.

Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang.

Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium.

Monopodium adalah cara pertumbuhan yang tidak berakhir dengan pengeluaran bunga. Batangnya kecil dan diliputi oleh upih-upih daun.

Akar udara yang keluar daripada batang terpaksa menembusi upih daun. Batang orkid monopodium tidak bercabang dan boleh mengeluarkan tunas-tunas baru selepas dipotong.

Keratan batang kemudian di tanam di dalam pasu di atas tanah yang tidak lembab. Genus-genus komersil yang terdapat di dalam kumpulan monopodium ialah Venda, Arachnis, Renanthera, Aranda dan Mokara.

Jangkamasa matang bagi setiap orkid berbeza-beza antara genus, spesis, hibrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan.

Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis dan varieti.

Pada kebiasaanya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa 1-3 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4-12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut di ambil.

Post a Comment

Previous Post Next Post