Newcastle United telah mengeluarkan kenyataan meminta penyokong mereka berhenti memakai pakaian ala Arab berikutan pengambilalihan kelab oleh konsortium Saudi baru-baru ini.
Sejak konsortium mewah membeli kelab Newcastle dari Mike Ashley, peminat dan penyokong Magpies tidak berhenti meraikannya dengan terdapat sebilangan kecil penyokong telah menarik perhatian antarabangsa.
Ini berikutan tindakan mereka mengenakan jubah dan hiasan kepala tradisional Arab ketika pengumuman pengambilalihan dibuat, begitu juga pada perlawanan Newcastle baru-baru ini ketika menentang Tottenham.
Kini kelab tersebut telah mendesak penyokong mereka untuk berhenti melakukannya kerana bimbang ia adalah "budaya tidak sesuai" dan mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak.
"Newcastle United meminta penyokong untuk tidak memakai pakaian tradisional Arab atau penutup kepala yang diilhamkan dari Timur Tengah pada perlawanan jika mereka tidak biasa memakai pakaian seperti itu," kata Newcastle dalam satu kenyataan.
"Sebilangan penyokong baru-baru ini menghadiri St. James' Park dengan memakai penutup kepala dan jubah.
"Tidak ada seorang pun di kalangan kumpulan pemilik baharu yang tersinggung dengan pakaian peminat yang memilih untuk meraikannya dengan cara ini.
"Itu adalah isyarat yang diakui positif dan menyambut baik niatnya. Walau bagaimanapun, masih ada kemungkinan bahawa berpakaian dengan cara itu tidak sesuai dengan budaya dan berisiko menimbulkan perasaan tidak senang kepada orang lain.
"Semua pengunjung kelab, seperti biasa, digalakkan untuk memakai apa sahaja norma untuk budaya atau agama mereka sendiri, terus mencerminkan masyarakat dan kumpulan pelbagai budaya yang luas dan kaya yang mana kelab berasa bangga dengan sokongan diberikan."
Berikutan berita pengambilalihan kelab oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF), jelas terdapat semangat tinggi di Tyneside.
Namun perayaan itu dihentikan seketika, sekurang-kurangnya selama 90 minit ketika Newcastle kembali merosot kepada cara lama mereka di atas padang dalam permainan ke-1000 Steve Bruce sebagai pengurus.
Walaupun menjaringkan gol selepas hanya dua minit, 10 pemain Magpies akhirnya tewas 3-2 kepada Tottenham pada hujung minggu lalu.
Dengan pasukan kini berada di kedudukan kedua dari bawah dan masih belum menang di Liga Perdana Inggeris, pemilik baharu tidak membuang masa untuk berpisah dengan Bruce.
Walaupun penggantinya masih belum dijumpai, bos sementara Graeme Jones mengambil alih tugas tersebut buat masa ini.