Real Madrid kecewakan Liverpool sekali lagi.

Real Madrid sekali lagi menghancurkan impian Liverpool untuk menjulang trofi Liga Juara Juara setelah menewaskan mereka sebentar tadi. 

Impian Liverpool untuk menjuarai Liga Juara-Juara buat kali ke-7 berkecai apabila tewas 1-0 kepada Real Madrid di Stade de France.

Kemenangan pasukan dari Sepanyol itu membuatkan mereka kini memiliki trofi kejuaraan Liga Juara-Juara sebanyak 14 kali.

Pada perlawanan yang berakhir sebentar tadi, penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan deretan percubaan yang dilancarkan The Reds dan Vinicius Jr. menghukum kealpaan benteng lawan dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-59.

Ia kali kedua berturut-turut Real mengecewakan anak-anak buah Jurgen Klopp selepas turut menumpaskan The Reds 3-1 dalam perlawanan akhir 2018.

Liverpool harus menyalahkan diri sendiri atas kegagalan menjulang kejuaraan Eropah ketujuh selepas mensia-siakan banyak peluang terhidang pada ketika Real yang hanya sekali sekala melancarkan serangan namun berjaya memanfaatkan kesempatan terbaik yang diperolehi.

Perlawanan yang bermula lewat 36 minit gara-gara bas yang membawa pasukan Liverpool terperangkap dalam kesesakan lalu lintas menyaksikan penguasaan penuh Reds pada babak pertama.

Peluang terbaik Liverpool yang diperoleh menerusi Sadio Mane, Mohamed Salah dan Luiz Diaz sama ada dinafikan oleh ketangkasan Courtois atau sedikit tersasar dari gawang.

Keghairahan Liverpool menyerang kubu lawan bertali arus menyebabkan benteng mereka terperangkap apabila Real melakukan serangan balas, namun The Reds bernasib baik apabila jaringan Karim Benzema pada babak pertama dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana berada dalam posisi ofsaid.

Selepas agak tenggelam pada separuh masa pertama, Real kembali menyusun permainan memasuki babak kedua, namun gagal untuk menembusi kubu The Reds.

Sebaliknya, Liverpool terus mengatur serangan yang mengancam pertahanan lawan, namun gagal menemui penyudah dan kecekapan Courtois banyak mengecewakan mereka.

Real akhirnya mendapat gol yang dicari-cari selepas Vinicius yang tidak dikawal oleh pertahanan Liverpool dan hanya perlu menolak bola dari jarak dekat untuk memastikan kemenangan bersejarah Los Blancos di kota Paris.



Post a Comment

Previous Post Next Post