Newcastle kini telah menyertai Arsenal dalam perlumbaan untuk mendapatkan penyerang Sepanyol, Raul de Tomas.
Rekod jaringan dan sumbangan gol De Tomas sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat semakin meningkat dan itu meletakkan dirinya berada dalam kelompok antara pemain terbaik di Eropah.
Sejak menyertai Espanyol pada 2020, De Tomas telah menjaringkan 45 gol dalam 89 perlawanan untuk kelab Sepanyol itu.
Prestasinya difahamkan telah menarik minat beberapa kelab yang sedang mencari penyerang pada jendela musim panas ini.
Media Sepanyol, SuperDeporte mendakwa Arsenal telah mempertimbangkan untuk menandatanganinya dalam beberapa kesempatan.
Bagaimanapun, selepas memuktamadkan pembelian Gabriel Jesus, pencarian penyerang buat Arsenal mungkin berakhir dan menurut wartawan Matteo Moretto, Newcastle kini telah memasuki perlumbaan untuk mendapatkannya.
Newcastle menandatangani Chris Wood pada Januari, tetapi pemain antarabangsa New Zealand itu bergelut untuk beraksi bersama kelab baharunya itu.
Wood hanya berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua musim lalu dan itu telah menyebabkan Newcastle kini menyasarkan penyerang baharu.
Ketibaan Eddie Howe bertepatan dengan peningkatan prestasi untuk Newcastle, tetapi pengukuhan sangat diperlukan jika mereka mahu menjadi skuad yang berdaya saing dalam Liga Perdana Inggeris, sekurang-kurangnya menamatkan saingan musim depan dikelompok pertengahan.
El Newcastle, interesado en Raúl de Tomás. También la Juventus se ha informado sobre la situación del delantero del Espanyol, que podría salir por unos 35 millones de euros. @relevo
— Matteo Moretto (@MatteMoretto) July 11, 2022
Penyerang Espanyol itu, De Tomas mempunyai klausa pelepasan €70 juta (£60 juta) dalam kontraknya, yang boleh menyebabkan Arsenal mahupun Newcastle kehilangan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
Tetapi laporan terdahulu mendakwa Espanyol akan merasa sukar untuk menolak tawaran sekitar €25 juta (£21 juta) daripada pihak yang berminat.
Penyerang berusia 27 tahun ini mendapat pendedahan di akademi Real Madrid pada 2004 sebelum meninggalkan mereka untuk menyertai Benfica pada 2019.
Namun, sejak Januari 2020, De Thomas telah kembali ke Sepanyol dan telah membuat penampilan yang mengagumkan bersama Espanyol.
Musim lalu (2021/22), dia telah menjaringkan 17 gol daripada 36 penampilan untuk kesemua kejohanan bersama Espanyol, selain mencipta tiga bantuan gol.
Dia dinilaikan pada harga €25 juta (£21 juta) dalam pasaran perpindahan ketika ini, namun pendedahan wartawan itu mengatakan pemain itu bernilai €35 juta (£31 juta) dan jumlah itulah yang dikatakan Espanyol terbuka untuk rundingan penjualan.