Roy Keane bertindak balas terhadap Arsenal dalam perbincangan mengenai kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Kira-kira tidak sampai sebulan sahaja lagi untuk aksi Liga Perdana Inggeris musim 2022/23 akan bermula, terdapat perbincangan mengenai pasukan manakah akan menghuni ataupun menamatkan saingan di kelompok empat teratas.
Menyertai perbincangan itu adalah Roy Keane, Micah Richards dan Graeme Souness dalam rancangan Skybet.
Bagimanapun, bekas pemain tengah Manchester United itu telah membidas Arsenal selepas gagal menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu dan membenarkan Tottenham layak melalui pintu belakang.
The Gunners berada di kedudukan terbaik untuk menamatkan saingan di empat teratas sebelum keputusan buruk menyaksikan seteru utama The Gunners memintas mereka.
Tiga kekalahan pada bulan April - kalah Crystal Palace, Brighton dan Southampton telah meranapkan harapan anak buah Mikel Arteta untuk beraksi di kejohanan tertinggi kelab-kelab bolasepak Eropah.
Walaupun kemenangan 3-0 Spurs ke atas Arsenal meletakkan mereka hanya satu mata di belakang pesaing mereka pada bulan Mei, namun pasukan Antonio Conte terpaksa menunggu sehingga hari terakhir untuk mengesahkan tempat keempat dengan kemenangan di Norwich.
Keane menyasarkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan berkata pengendali Tottenham itu menerima bantuan untuk menduduki tempat keempat pada musim pertamanya di kelab tersebut.
Bercakap dengan Micah Richards dan Graeme Souness kepada SkyBet, dipetik daripada Express, ketiga-tiga mereka telah membincangkan kemungkinan pencabar gelaran kepada Manchester City.
"Liverpool dan Man City terlalu bagus," kata Richards.
"Spurs?
"Mereka mungkin mendapat empat teratas sekali lagi tetapi saya tidak fikir mereka berada pada tahap yang sama.
"Dia [Conte] adalah pemenang bersiri dan saya fikir dia akan memenangi sesuatu, Conte, saya benar-benar yakin, apa yang dia lakukan sejak dia tiba sungguh luar biasa."
Kata-kata Ricards itu disokong oleh bekas pemain Tottenham dan Liverpool, Graeme Souness.
"Saya rasa Spurs mempunyai keazaman dan ketegasan tentang mereka.
"Yang saya tidak pernah lihat perkara itu ada bersama mereka sejak awal era [Mauricio] Pochettino mengendalikan mereka." kata Souness.
Keane kemudian mencelah perbincangan itu dengan menyifatkan Spurs layak selepas menerima bantuan Arsenal.
"Tetapi dia mendapat bantuan. Bukankah dia? Dengan Arsenal." kata Keane.
Richards menyerang balik Keane kerana kritikan berterusannya terhadap The Gunners.
"Anda sentiasa suka mengorek [mencari kesalahan] Arsenal, bukan?" celah Richards.
"Apa masalah anda dengan Arsenal?"
Keane menjawab: "Mereka [Arsenal] menghampakan pada akhirnya [melepaskan peluang].
"Mereka berada pada kedudukan terbaik, cemerlang seperti yang dilakukan Spurs, Arsenal memilikinya [menguasainya] dan mereka melepaskannya."
Tottenham telah dipuji kerana penambahbaikan yang dilakukan mereka pada musim panas ini, setelah berjaya membawa masuk Richarlison, Yves Bissouma, Ivan Perisic, Clement Lenglet dan Fraser Forster bagi memperkuatkan skuad mereka dalam menghadapi saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara Arsenal pula telah telah membawa masuk Gabriel Jesus, Fabio Vieira, Matt Turner dan Marquinhos.
Dan dua pesaing Utara London itu kelihatan bersedia untuk bertarung sekali lagi musim depan untuk tempat empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Walaupun Keane dilihat mencari balah dengan Arsenal, namun kata-kata beliau ada kebenarannya. |