"Dia meyakinkan saya" – Emery memperincikan sebab mengapa dia menyertai Aston Villa dan akan cuba mengelak kesilapan sama ketika bersama Arsenal.
Unai Emery berjaya membimbing Aston Villa ketika mereka mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Manchester United, yang merupakan perlawanan pertamanya mengendalikan kelab itu.
Terdahulu, Emery menghabiskan lebih semusim bersama Arsenal, antara musim panas 2018 dan November 2019, sebelum dia ditunjukkan pintu keluar.
Namun pada 24 Oktober 2022, beliau secara sah telah menyertai Aston Villa sebagai Ketua Jurulatih baharu mereka.
Setelah mengambil alih tugas baharu bersama The Villans, Marca telah bertanyakan kepadanya sama ada terdapat dendam peribadi untuk membuktikan dirinya dalam Liga Perdana Inggeris.
Namun, bekas pengendali The Gunners ini menegaskan bahawa ia adalah mengenai cabaran baharu semata-mata dan tiada dendam di antara beliau dan kelab Utara London.
"Saya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran baharu dalam Liga Perdana Inggeris." katanya.
"Saya sudah mempunyai pengalaman setahun empat bulan dalam liga ini.
"Saya rasa tahun pertama saya di Arsenal adalah bagus.
"Ia digagalkan oleh beberapa perkara yang saya kenal pasti, yang kini saya akan cuba elakkan.
"Saya sentiasa mempunyai objektif peribadi untuk mempunyai peluang baharu dan kembali dengan lebih bersedia.
"Saya fikir di Villarreal, saya telah memperolehi kesinambungan yang membuatkan mereka memanggil saya kembali ke England.
"Ia lebih mencabar daripada membalas dendam.
"Saya terpaksa menerimanya sebagai sesuatu yang sangat profesional."
Bagaimanapun, hanya masa akan menentukan sama ada jurulatih itu akan berjaya memastikan dia tidak mengulangi kesilapan sama ketika mengendalikan Arsenal, bersama Aston Villa.
Selepas meninggalkan Stadium Emirates, Emery menghabiskan lebih dua musim bersama Villarreal, di mana dia memenangi Liga Europa pada 2021.
Walaupun mempunyai kesinambungan dengan Yellow Submarine, Aston Villa berjaya membawa bekas pengurus Arsenal itu ke Villa Park.
Dia kini telah menjelaskan bagaimana kelab Inggeris itu dapat meyakinkannya untuk meninggalkan pasukan La Liga itu.
"Saya mengadakan pertemuan pertama dengan presiden kelab, Nassef Sawiris dan dia selalu bercakap dengan saya secara langsung.
"Tetapi sentiasa dengan sokongan rakannya, Wesley Edens.
"Dia memberitahu saya tentang projek Aston Villa, tentang sejarah, tentang sekarang dan tentang apa yang dia mahu bina dan apa yang dia lihat dalam diri saya.
"Daripada apa yang saya mampu lakukan.
"Dia meyakinkan saya." jelas Emery.
"Dia seorang yang bercita-cita tinggi dengan kata-katanya dan mempunyai keyakinan terhadap kredibiliti yang saya miliki sebagai jurulatih.
"Dia juga mendapat persetujuan pasangannya dan Christian dan Johan yang bertanggungjawab untuk hari ke hari [menjalankan kelab].
"Sebagai jurulatih, saya memerlukan mereka yang memandang mata saya dan menyampaikan rasa hormat kepada jurulatih yang saya ada.
"Semua langkah yang saya lakukan adalah dari sudut profesional.
"Di setiap tempat yang saya telah pergi, ia adalah untuk mengambil sekeping hati.
"Pemain dan jurulatih... Saya sentiasa jelas tentang langkah yang saya ambil.
"Saya perlu merasakan bahawa terdapat cabaran profesional.
"Saya sangat gembira di Villarreal yang memenuhi objektif profesional.
"Terdapat kejayaan tetapi keluar [berpindah] adalah sesuatu yang profesional di mana saya menghargai cabaran itu.
"Saya sentiasa menjaga orang yang mengetuk pintu saya dan kemudian saya mendengar atau tidak.
"Villa membuatkan saya kembali ke Liga Perdana, mencabar saya untuk mengambil langkah dalam Liga yang begitu kompetitif.
"Saya boleh membina pasukan untuk kembali ke Eropah."