Tiga kelab berminat untuk mendapatkan pemain pertahanan Arsenal dengan pengurus impikan untuk bersatu semula dengannya.
Fulham kembali dalam gambaran untuk mendapatkan Cedric Soares selepas gagal menandatangani pemain Arsenal itu pada jendela perpindahan musim panas.
Bek kanan The Gunners itu menyaksikan masa permainannya begitu terhad sekali musim ini.
Dia hanya mencatatkan tujuh penampilan dalam semua pertandingan atas namanya dan itu, termasuklah satu permulaan (bermula dalam kesebelasan utama) yang muncul dalam kekalahan Piala EFL The Gunners kepada Brighton & Hove Albion.
Mikel Arteta lebih memilih untuk menggunakan Ben White ataupun Takehiro Tomiyasu berbanding pertahanan berusia 31 tahun itu di bahagian kanan dalam sistem empat pertahanannya.
Namun, itu semua tidak menghalangnya daripada menarik perhatian Fulham dan beberapa kelab lain.
Foot Mercato melaporkan bahawa Fulham gagal membawa pemain antarabangsa Portugal itu keluar dari Arsenal pada jendela terakhir (musim panas).
Bagaimanapun, Marco Silva yang pernah menguruskan Cedric ketika berada di Sporting mengimpikan untuk bersatu semula dengan pemain pertahanan Arsenal itu di Fulham pada Januari ini dan idea mereka adalah untuk menandatanganinya secara pinjaman dengan kewajipan untuk membelinya.
Ia mendakwa perbincangan antara kedua-dua pihak antara Arsenal dan pasukan Silva akan berlaku tidak lama lagi.
Fulham bukanlah satu-satunya kelab yang mengintai pemain Arsenal itu kerana Atletico Madrid dan Bayer Leverkusen juga berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Cedric di pasaran musim sejuk.
Untuk rekod, kontrak semasa Cedric Soares bersama Arsenal akan berakhir pada Jun 2024 dan ini merupakan peluang terbaik untuk The Gunners menjanakan sedikit pendapatan hasil daripada penjualannya walaupun terpaksa melalui tempoh pinjaman terlebih dahulu.
Sekurang-kurangnya, bebanan gaji tidak lagi ditanggung oleh Arsenal.