Azizulhasni belum mahu ‘angkat kaki’

“Saya belum sedia mengucapkan selamat tinggal. Saya mahu tamatkan perjuangan dengan kegemilangan.”

Itu luahan penuh makna jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mengesahkan akan meneruskan karier sebagai pelumba profesional selepas ‘pengakhiran mengecewakan’ di Sukan Olimpik Paris 2024.

Azizulhasni, 37, yang menyifatkan kegagalan di Paris sebagai detik paling sukar dalam kerjayanya berkata, keputusan untuk terus berlumba bukan hanya soal karier, tetapi demi kepuasan peribadi sebagai atlet yang mahu menoktahkan perjuangan dengan maruah.

“Pengakhiran di Paris tidak seperti yang saya harapkan. Ia masih mengganggu saya sampai sekarang. Saya bina semuanya dengan penuh pengorbanan dan dedikasi, jadi saya rasa saya belum selesai. Saya mahu satu penutup yang manis,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Di temasya Paris, penyertaannya dalam acara keirin dibatalkan akibat isu teknikal, manakala dalam acara pecut, beliau terkandas di peringkat repechage sekali gus menamatkan aksi tanpa sebarang pingat.

Ketika itu, Azizulhasni pernah membayangkan hasrat untuk bersara selepas 21 tahun menabur bakti buat skuad kebangsaan. Namun selepas menilai semula, dia memilih untuk terus berlumba secara profesional – tanpa bergantung kepada MSN mahupun pasukan negara.

“Saya buat keputusan untuk tidak lagi bersama pasukan kebangsaan. Saya mahu berdikari, dan dalam masa sama beri ruang dan peruntukan yang ada kepada pelumba muda yang sedang meningkat naik,” katanya.

Keputusan itu turut mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengumumkan geran khas RM200,000 kepada pelumba berstatus ikon itu bagi membolehkannya meneruskan karier profesional untuk tahun 2025 dan 2026.

Menurut Hannah, dana itu meliputi keperluan latihan, pengurusan jurulatih, peralatan pertandingan, perubatan serta sokongan sains sukan – dengan syarat utama beliau perlu layak ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Post a Comment

Previous Post Next Post