Pengurus / Jurulatih Malas?


Melihatkan pada senario bolasepak sekarang lebih-lebih apabila menjelang jendela perpindahan pemain dengan beberapa kelab ternama yang membelanjakan sejumah wang yang begitu banyak dalam urusan pembelian pemain membuatkan penulis terfikir mengenai fungsi seorang jurulatih ataupun pengurus pasukan (jika merujuk kepada Liga Perdana Inggeris).

Adakah anda dikira seorang jurulatih pasukan yang hebat dengan mengumpul (membeli) kesemua pemain terhebat ke dalam satu pasukan?

Dengan harga yang semakin 'mengarut' bagi mendapatkan seseorang pemain dipasaran sekarang, tidak mustahil untuk membina sebuah pasukan yang benar-benar mantap memerlukan belanja ratusan juta pound ketika ini.

Bukan kerana dengki ataupun iri hati melihat pasukan-pasukan besar berbelanja mewah, cuma sekadar memikirkan peranan seorang jurulatih dan pengurus sesebuah pasukan itu dalam membentuk pemain dan pasukan dengan kapasiti mereka selaku jurulatih tersohor.



Jika melihat kepada jurulatih tersohor dunia seperti Pep Guardiola (sebagai contoh), beliau gagal untuk mencipta ataupun meraih sebarang kejuaraan bersama Manchester City musim lalu dengan skuad yang sedia ada (yang ditinggalkan oleh Mancini) dengan ditambah beberapa pemain-pemain yang dibeli beliau.

Namun mungkin terbeban dengan reputasi kelab dan nama sendiri yang pernah menjulang beberapa kejuaraan dunia, mereka sanggup berbelanja besar bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar mantap dan mampu menjuarai kejuaraan utama domestik dan eropah.

Guardiola, dalam menghadapi saingan liga musim depan, beliau setakat ini telah menghabiskan ratusan juta pound bagi membentuk pasukan yang diimpikan beliau dan diyakini mampu menjuarai (setidak-tidaknya) Liga Perdana Inggeris.

Manchester City setakat ini telah menghabiskan £307 juta bagi membentuk skuad mantap dalam mengharungi cabaran liga musim depan dengan membawa lapan pemain baru menyertai mereka (musim lalu dan jendela perpindahan terkini).


Pemilik City, Sheikh Mansour dikatakan pernah mengeluarkan kenyataan dimana bekas pengendali pasukan itu sebelum ini, Roberto Mancini gagal dalam mengesan dan mengenal pasti keperluan bagi membangunkan semua aspek bolasepak untuk kelab itu.

City telah membelanjakan sejumlah £150juta terhadap akademi mereka dengan Guardiola dilantik sebagai Ketua Akademi, membuatkan penulis sekali lagi tertanya-tanya adakah ini bermakna beliau berjaya mengesan ataupun berjaya memilikki ciri-ciri yang dikatakan tiada pada Mancini?

Pengurus Chelsea, Antonio Conte turut pernah mengkritik City kerana lebih gemar berbelanja daripada memperbaiki ataupun meningkatkan mutu pasukan dengan pemain yang sedia ada.

Namun Conte juga sama berbelanja besar dalam membentuk skuad beliau dalam menghadapi saingan liga, lebih malang lagi beliau tidak pernah menggunakan seorang pun pemain remaja kelab itu dalam saingan liga musim lalu.

Berbanding Guardiola yang memberikan 464 minit secara keseluruhan kepada pemain remaja kelab itu dengan menurunkan Gabriel Jesus (203minit), Kelechi Iheanacho (186minit) dan Aleix Garcia (75minit).
Conte setakat ini telah berbelanja sekitar £130juta  dengan membawa empat pemain (Álvaro Morata, Tiemoué Bakayoko dan Antonio Rüdiger) termasuklah Willy Caballero yang dibawa masuk secara percuma.

Manchester United pula boleh dikira lebih bagus dalam menggunkan pemain muda dengan membenarkan pemain remaja mereka beraksi jumlah 1,924 minit yang mana  Marcus Rashford beraksi selama 1,702minit musim lalu.



Adakah peluang pemain remaja (bawah 20 tahun) bersama kelab-kelab ternama ataupun kelab besar EPL sangat terhad?

Dan adakah dengan berbelanja besar menunjukkan seseorang pengedali itu malas untuk membentuk pemain muda mereka?

Semua ini bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pengurus kerana berbelanja terlalu tinggi dalam membentuk skuad yang mantap, mungkin tekanan daripada pihak pengurusan yang tidak memahami dan tidak sabar mengecapi kejayaan membuatkan pengurus-pengurus ini terpaksa melakukan dengan cara 'segera'.

Dan ini juga mengakibatkan bakat-bakat pemain remaja terabai kerana pengurus-pengurus pasukan ini mungkin tidak sanggup menanggung risiko pemecatan kerana jangka masa seorang pengurus bersama kelab-kelab ternama kini semakin singkat. Mungkin setahun ke dua tahun sahaja tempoh selamat mereka sebelum dipecat kerana gagal mencapai sebarang kejayaan yang diingin pihak pengurusan.

Realitinya, kehebatan seseorang jurulatih ataupun pengendali itu bergantung kepada kejayaan menjuarai sesebuah pertandingan dan bukannya dengan cara membentuk sesebuah pasukan dengan membimbing serta melahirkan pemain-pemain terhebat.

Tidak kisahlah berapa banyak duit dibelanjakan asalkan menjuarai sesebuah kejohanan dan paling tidakpun berada dalam senarai 'Top 4' liga.

Post a Comment

Previous Post Next Post