Kita sentiasa kehilangan pemain kelas dunia

Jendela perpindahan Arsenal tidaklah begitu menggembirakan buat peminat Arsenal kerana seringkali pada waktu ini (jendela perpindahan) Arsenal kehilangan pemain terbaik mereka.



Semenjak muncul selaku Juara Liga pada tahun 2003–04 dengan gelaran The Invincible, Arsenal dilihat terus sukar untuk membentuk pasukan yang mampu memberi saingan didalam kejohanan domestik mahupun diperingkat Eropah.

Musim 2005-06 walaupun gagal memenangi sebarang kejuaraan, namun layak beraksi pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (sebelum tewas kepada Barcelona 2-1) boleh dianggap satu pencapaian yang menggembirakan peminat dan penyokong Arsenal.

Dan semenjak itu, Arsenal masih berusaha membentuk kembali pasukan yang pernah digeruni namun seringkali terkandas ekoran 'pemergian' beberapa bintang utama dan ternama yang dimiliki Arsenal ketika itu.

Terkini, Arsenal bakal kehilangan Alexis Sanchez pada jendela perpindahan ini (Januari) dan sekali lagi usaha untuk membentuk pasukan mantap terbantut.

Arsenal sebelum ini pernah kehilangan beberapa pemain ternama yang boleh dikatakan bertaraf dunia dan sehingga kini masih gagal mencari pengganti kepada mereka (sekurang-kurangnya menyamai kualiti yang ada pada bekas pemain ini). 



PERTAHANAN


Bermula daripada barisan pertahan, Arsenal pernah kehilangan Ashley Cole pada tahun 2006 apabila menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan £5 juta sahaja. 

Perpindahan penuh kontroversi dan menjadi ingatan para peminat dan penyokong Arsenal.

Sebagai pengganti kepada Cole, Arsenal menerima William Gallas dalam urusniaga perpindahan ini. Namun Gallas bukanlah pengganti kepada kekosongan Cole kerana posisi Gallas berada atau selaku pemain pertahanan tengah manakala Cole pula pemain pertahanan kiri.

Ashley Cole ketika itu boleh disifatkan antara pemain pertahanan kiri terbaik dunia namun sebagai pengganti beliau, Wenger mempertaruhkan pemain muda yang dibawa masuk daripada kelab Perancis, Cannes iaitu Gael Clichy.

Selepas beberapa musim suram menyelubungi Clichy ekoran kecederaan, musim 2007-08 merupakan musim terbaik beliau (setahun selepas kehilangan Cole) dan sekali lagi ketika prestasi pemain ini berada dikemuncak, Arsenal kehilangan sekali lagi pemain terbaik yang boleh dianggap antara pemain pertahanan terbaik dunia ketika itu apabila beliau (Clichy) menyertai Manchester City pada tahun 2011 dengan nilai perpindahan yang dianggarkan sekitar £7 juta.

Manakala pada pertahanan kanan, Arsenal pernah kehilangan Bacary Sagna kepada Manchester City pada tahun 2014.  Sagna ketika itu merupakan antara pertahanan terbaik yang beraksi untuk skuad Perancis.

Dan Sagna menyertai City secara percuma selepas enggan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal.

Mungkin isu perpindahan Kolo Toure sedikit berbeza memandangkan pemain ini  ketika itu mengalami masalah bersama William Gallas. 

Walaupun Toure bukanlah pemain yang menghampiri kelas dunia ketika itu, namun sumbangan beliau juga tidak boleh dipertikai ketika bersama Arsenal.

Beliau kemudian dilepaskan untuk menyertai Manchester City pada tahun 2009 dengan nilai perpindahan yang dianggarkan £14 juta.

Hingga kini, barisan pertahanan Arsenal dilihat masih bermasalah dan seringkali mudah untuk dibolosi. 

Cuma pada musim 2015/16 menyaksikan Arsenal berjaya mencipta jumlah 'clean sheets' tertinggi dengan mencatatkan jumlah sebanyak 18 kali dan merupakan pasukan tertinggi merekodkan jumlah tersebut pada musim itu.


TENGAH

Antara pemain yang menjadi ingatan dikalangan peminat dan penyokong Arsenal adalah Cesc Fabregas.


Perpindahan pemain ini penuh dengan kontroversi apabila beliau gembira menerima jersi Barcelona yang disarungkan kepada beliau oleh Puyol dan Pepe Reina pada majlis bersama skuad kebangsaan Sepanyol.

Masih bergelar pemain Arsenal, namun gembira 'menyarung' jersi Barcelona.
Fabregas begitu (tersangat-sangat) ingin kembali bersama Barcelona ketika khidmat beliau masih ditagih bersama Arsenal, lebih-lebih lagi beliau merupakan kapten Arsenal ketika itu.

Dan akhirnya beliau dilepaskan Arsenal kepada Barcelona dengan nilai perpindahan €29 juta dengan tambahan €5 juta bagi klausa lain pada tahun 2011.

Lebih memeritkan buat peminat Arsenal dimana Fabregas dilaporkan membayar Arsenal sejumlah €1 juta setahun daripada pendapatan beliau kepada Arsenal untuk tempoh lima tahun. Ini menunjukkan betapa beliau inginkan bersama Barcelona.

Kemudian peminat dan penyokong Arsenal terus dikecewakan dengan penghijrahan Samir Nasri yang merupakan antara bintang yang meningkat naik ketika itu apabila beliau menyertai Manchester City pada tahun 2011 dengan nilai perpindahan £25 juta.
Arsenal have good fans but not that passionate since they moved from Highbury. City fans are really passionate. When we played against City, the crowd was amazing. That's what I want. - Nasri.
Mikel Arteta bukanlah pengganti kepada Fabregas yang dilihat mampu mengisi kekosongan Viera manakala Santi Cazorla masih dibelenggu kecederaan yang menyaksikan kelibat pemain ini masih dirindui.

Kehadiran Mesut Ozil dan Alexis Sanchez seolah-olah mampu untuk mengembalikan kegemilangan Arsenal dengan ketika itu hanya menyaksikan Arsenal hanya perlu mencari seorang penyerang terbaik untuk melengkapkan - kemantapan skuad Arsenal.

Namun kini Arsenal sekali lagi terpaksa bermula dari bawah (sekali lagi) bagi membentuk pasukan terutama bahagian tengah selepas ketiadaan Sanchez.


PENYERANG


Lapan musim bersama Arsenal, Thierry Henry berjaya menempatkan diri beliau selaku pemain lagenda kelab dengan rekod dan penampilan yang cukup cemerlang.

Dibawa masuk daripada Juventus selepas mengalami kesukaran bersaing didalam Liga Itali, beliau akhirnya kembali bergabung bersama bekas pengurus beliau ketika di Monaco, Arsene Wenger pada tahun 1999.

Bersama Arsenal beliau menjadi terkenal dan layak berada didalam senarai pemain terbaik dunia ketika itu.

Namun entah mengapa Arsenal melepaskan beliau kepada Barcelona pada tahun 2007 dengan nilai perpindahan sekitar €24 juta. (Mungkin faktor usia - 30 tahun ketika itu yang dilihat oleh Arsenal sebagai faktor ekonomi).

Dan mungkin Henry tidak begitu relevan untuk dikaitkan dalam isu ini, namun jika Arsenal berjaya mengekalkan beliau, mungkin pemain ini berjaya menjadi idola serta membimbing pemain-pemain muda Arsenal ketika itu.

Kemudian muncul Robin van Persie yang dilihat mampu menjadi jelmaan Thierry Henry, namun sekali lagi peminat Arsenal dikecewakan apabila pemain ini turut berhijrah menyertai Manchester United pada tahun 2012 dengan nilai perpindahan sekitar £22.5 juta selepas enggan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal.

Sehingga ke hari ini, Arsenal masih gagal mencari atau menemui mana-mana pemain sebagai pengganti yang mampu mengisi posisi ini.

Mungkin Lacazette mampu menjadi 'new Henry' cuma memerlukan sokongan bahagian tengah selain menyesuaikan diri dalam saingan liga yang berbeza ketika beliau beraksi di Perancis.

Penulis sekadar menyenaraikan beberapa pemain sahaja yang mana Arsenal terpaksa melepaskan mereka dalam usaha Wenger untuk memantapkan kembali pasukan.

Mungkin anda ada memiliki pandangan dan boleh menyenaraikan pemain-pemain yang tertinggal dalam senarai diatas.

Post a Comment

Previous Post Next Post