Arsenal kehilangan khidmat Lacazette untuk enam minggu

Arsenal terpaksa melupakan khidmat penyerang, Alexandre Lacazette untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan selepas menjalani pembedahan kecil di lututnya.



Lacazette dilaporkan bakal terlepas aksi diantara empat hingga ke enam minggu selepas menjalani pembedahan pada lutut beliau sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Arsenal.

Pemain antarabangsa Perancis ini menjalani pembedahan 'arthroscopy' pada lutut kirinya semalam dan difahamkan bahawa pembedahan tersebut telah berlangsung dengan jayanya.

Kecederaan dan ketiadaan Lacazette ini berlaku pada masa yang sangat penting buat Arsenal yang bakal mengharungi perlawanan penting dalam saingan Liga Europa dan bakal mengharungi perlawanan akhir Piala EFL disamping baki saingan Liga Perdana musim ini.

Beliau dijangkakan bakal terlepas tujuh perlawanan bagi kesemua kejohanan bersama Arsenal dan juga skuad kebangsaan Perancis serta dijangka pulih dalam tempoh enam minggu.

Antara perlawanan penting yang bakal terlepas oleh Lacazette bersama Arsenal adalah dua pertemuan diantara Arsenal menentang Ostersunds dalam saingan Liga Europa (pusingan 32) dan dua perlawanan menentang Manchester City (perlawanan Akhir Piala Carabao - EFL Cup dan perlawanan liga).

Selain itu juga, beliau bakal terlepas dua aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan Perancis yang dijadualkan bertemu Colombia dan Russia pada 23 dan 27 Mac ini dalam usaha Didier Deschamps  (pengurus pasukan kebangsaan Perancis) memperkukuhkan skuad beliau menghadapi kejohanan Piala Dunia nanti.

Ketiadaan Lacazette memberi kesan didalam saingan Liga Europa memandangkan Pierre-Emerick Aubameyang tidak layak beraksi pada kejohanan ini dan tugas selaku penyerang diletakkan kepada Lacazette pada kejohanan ini.

Namun dengan ketiadaan beliau, Arsenal kemungkinan bakal mempertaruhkan Danny Welbeck ataupun  penyerang muda, Eddie Nketiah bagi menghadapi Ostersunds pada saingan Europa yang dijadualkan Jumaat ini.


Dua perlawanan dalam saingan Europa merupakan perlawanan penting buat Lacazette bagi memulihkan serta mengembalikan keyakinan beliau selepas tempat selaku penyerang utama (kesebelasan utama dalam saingan liga) Arsenal kini diambil oleh Aubameyang.

Namun kini beliau terpaksa menunggu sehingga April ini untuk kembali beraksi.

Semoga Lacazette segera pulih dan kembali menemui sentuhan berbisa beliau.


#COYG #LacaGoal


Post a Comment

Previous Post Next Post