"Saya tidak perlu buktikan apa-apa" - Henrikh Mkhitaryan

Pemain yang tidak diperlukan oleh Manchester United, Henrikh Mkhitaryan percaya bahawa beliau tidak mempunyai sebarang alasan untuk dibuktikan dalam Liga Perdana Inggeris.




Selepas gagal menyinar bersama Manchester United, Mkhitaryan menjelaskan bahawa beliau tidak perlu membuktikan apa-apa bersama Arsenal.

Beliau yang menyertai Arsenal dalam perpindahan - pertukaran pemain yang menyaksikan Alexis Sanchez berpindah ke Manchester United pada Januari lalu berjaya mencipta tiga bantuan gol setakat ini bersama Arsenal.

Dibawah kendalian Jose Mourinho di Manchester United, beliau gagal mendapat tempat bersama pasukan itu dan sejurus menyertai Arsenal beliau telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa beliau tidak sabar untuk bermain 'bolasepak menyerang' di Arsenal.

Menentang Everton, beliau berjaya mempamerkan persembahan yang menakjub apabila bergandingan bersama bekas rakan sepasukan beliau ketika di Dortmund, Aubameyang dan dijangkakan mereka berdua sekali lagi bakal digandingkan ketika menentang Tottenham malam ini.

Mkhitaryan, yang menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Perdana bagi tempoh dua musim bersama Man.United dilaporkan gembira untuk meninggalkan 'masa sengsara' beliau ketika bersama Man.United apabila menyertai Arsenal.

Mkhitaryan telah menjaringkan lima gol ketika bersama Man.United. 
Menjelang pertembungan North London Derby, beliau yang ditemurah wartawan menjelaskan:

"Saya tidak mahu mencari alasan,"

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa tapi saya gembira kerana musim ini (separuh musim) sudah berlalu. Saya memulakan babak baru dalam hidup saya, dalam kerjaya bolasepak saya dan saya sangat gembira berada di sini."

"Sudah tentu saya lebih gembira untuk lakukan lebih daripada apa yang saya lakukan di Manchester, dan saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibuktikan kepada sesiapa."

"Saya hanya perlu menikmati diri saya sendiri, melakukan yang terbaik dan pada akhirnya saya akan melihat di mana saya boleh berada. "

Gandingan Mkhitaryan bersama Aubameyang mungkin menyebabkan pemegang rekod pemain termahal Arsenal (sebelum Aubameyang), Alexandre Lacazette terpinggir dibangku simpanan.

Namun Mkhitaryan begitu teruja untuk kembali bergabung bersama Aubameyang sekali lagi sebagaimana mereka bergandingan ketika di Dortmund.

Mkhitaryan gembira dapat bergandingan kembali bersama Aubameyang.
"Saya tidak akan menyebut semua butiran (secara jelas) kerana ia tidak adil tetapi ya, apabila saya menandatangani bersama Arsenal, saya menghubungi beliau dan berkata 'jadi, langkah pertama telah dilakukan, kini kita sedang menunggu yang kedua'," jelas Mkhitaryan.

"Saya fikir ia hanya dalam mimpi bahawa kita boleh menyertai kelab lain selain Dortmund tetapi saya sangat gembira kerana ianya menjadi kenyataan (bergabung di Arsenal). Saya telah mengenali beliau dengan baik, beliau merupakan salah seorang kawan terbaik dan rakan sepasukan terbaik yang pernah saya ada,"

"Saya sangat gembira untuk bersama beliau di sini dan saya fikir semua peminat gembira dapat melihat beliau menyarung jersi Arsenal. Apa yang boleh saya katakan?  Saya suka bermain bersama beliau. Saya boleh memahami beliau dari awal (langkah pertama beliau) dan berharap untuk perlawanan seterusnya kami akan mencapai lebih banyak lagi."

"Saya telah banyak membaca mengenai derby ini, mengenai perlawanan menentang Tottenham dan bukan kali pertama saya melihat atau mendengarnya kerana saya telah berada di Liga Perdana untuk tempoh agak lama, jadi saya tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Saya tahu betapa pentingnya perlawanan derby dan saya bersedia untuk itu."


Sumber: Goal

Post a Comment

Previous Post Next Post