Wenger enggan lepaskan jawatan sehingga 2019

Nampaknya harapan peminat dan penyokong Arsenal yang mahukan pengendali Arsenal ditukar dan digantikan pada musim ini mahupun musim depan tidak akan tercapai melainkan barisan kepimpinan Arsenal bertindak memecat Arsene Wenger.



Mengikut laporan Express, Arsene Wenger tidak akan melepaskan jawatan beliau sehingga berakhirnya kontrak beliau bersama Arsenal yang mana ianya bakal berakhir pada penghujung musim depan (2018/19).

Wenger kini dibawah tekanan selepas prestasi merundum Arsenal kebelakangan ini dan bergelut dalam mempamerkan permainan yang meyakinkan selepas mengalami kekalahan berturut-turut dalam empat perlawanan terakhir.

Selain itu, peluang untuk berada dikelompok empat pasukan terbaik liga juga dilihat semakin sukar.

Bukan sahaja tekanan daripada peminat dan penyokong Arsenal yang mahukan Wenger berundur malahan dikatakan terdapat pemain Arsenal sendiri yang turut tidak yakin dengan kemampuan Wenger untuk mengendalikan serta memulihkan kembali semangat dan prestasi Arsenal.

Walau bagaimanapun, Wenger bertekad untuk terus berjuang dan mengendalikan Arsenal sehingga tahun terakhir kontrak beliau yang mana ditandatanganinya sembilan bulan lalu.

Turut dikatakan bahawa barisan kepimpinan Arsenal juga tidak lagi yakin dengan kemampuan pengendali kelahiran Perancis berusia 68 tahun ini, namun pemegang saham majoriti Arsenal, Stan Kroenke masih mempercayai dengan kemampuan Wenger.

Kemasukan Raul Sanllehi daripada Barcelona dan Sven Mislintat daripada Borussia Dortmund, dilihat sebagai persediaan Arsenal dalam memastikan tiada sebarang kecacatan yang bakal berlaku apabila Wenger meninggalkan kelab namun menjadi persoalan kini siapakah calon yang layak dan bakal menggantikan beliau.

Walaupun Wenger telah bersama Arsenal selama 22 tahun namun dengan situasi terkini, nampaknya era beliau bakal berakhir tidak lama lagi dan menjadi satu persoalan juga bagaimanakah penamatan karier Wenger bersama Arsenal.

Adakah pihak pengurusan (kepimpinan) Arsenal akan menamatkannya dengan cara memecat beliau?

Atau membiarkan Wenger menamatkan karier beliau apabila berakhirnya kontrak bersama Arsenal?

Post a Comment

Previous Post Next Post