Stadium kosong tidak mengganggu Wenger

Menjelang pertembungan suku akhir pertama Liga Europa diantara Arsenal menentang CSKA Moscow awal pagi esok (Waktu Malaysia), kehadiran penyokong Arsenal yang berkurangan sebelum ini tidak mengganggu fokus Arsene Wenger.



Arsene Wenger menegaskan bahawa beliau tidak terlalu 'terkesan' dengan jumlah kehadiran penonton yang tidak mampu memenuhi stadium baru-baru ini kerana berpendapat (mengakui) prestasi buruk Arsenal menyebabkan ianya terjadi.
You earn from your performances what you have and what you get - Arsene Wenger.
Dengan menghuni tangga keenam (kedudukan) Liga Perdana Inggeris, Arsenal berdepan tugas sukar untuk layak beraksi dipentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan dengan kini hanya mengumpul 51 mata.

Perbezaan 13 mata dengan Tottenham yang menghuni tangga keempat liga (64 mata) ketika ini dengan hanya baki perlawanan tinggal hanya tujuh perlawanan lagi dilihat tugas sukar buat Arsenal.

Empat pasukan terbaik liga bakal menempah slot automatik ke UCL musim depan dan melihatkan kepada perkembangan ini, ianya sememangnya sesuatu yang begitu sukar buat Arsenal untuk menamatkan saingan dengan berada di empat kelompok teratas.

Namun, Arsenal masih berpeluang untuk layak ke edisi musim depan (seandainya gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik  liga) jika muncul juara Liga Europa musim ini.

Awal pagi esok, jam 3.05 pagi waktu Malaysia, Arsenal bakal menerima kunjungan CSKA Moscow bagi perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Europa.


Walaupun setakat ini Arsenal dilihat begitu cemerlang dalam saingan Liga Europa, namun prestasi buruk dalam saingan liga serta dalam kejohanan domestik lain menyaksikan kemarahan penyokong semakin meluap selepas protes mengenai 'Wenger Out' musim lalu tidak membuahkan hasil.



Kekecewaan mereka ini semakin memuncak setelah Arsene Wenger yang gagal membawa Arsenal ke UCL musim ini selain gagal memenangi gelaran Liga Perdana semenak tahun 2004 masih diberikan kontrak lanjutan bagi tempoh dua tahun pada musim lalu.

Jika sebelum ini mereka masih mampu menghadirkan diri ke stadium bagi menyaksikan perlawanan, namun pada perlawanan akhir-akhir ini, Stadium Emirates yang mampu memuatkan kira-kira  60,000 penonton dilihat semakin kosong.

Pun begitu, Wenger tetap yakin dengan sokongan yang bakal diberikan oleh penyokong Arsenal menjelang pertembungan menentang kelab Rusia, CSKA Moscow esok pagi (waktu Malaysia).

"Saya fikir penyokong, apabila pasukan berada diperlawanan penting,mereka sentiasa berada bersama kami."

"Lihat saja bagaimana mereka ketika kami beraksi dipentas final di Wembley, separuh daripada stadium dipenuhi dengan penyokong Arsenal dan separuh lagi dengan penyokong City."

"Jadi saya tidak merasakan bahawa Arsenal kehilangan sokongan penyokong."

"Cuma mereka (penyokong Arsenal) kecewa dengan prestasi kami dalam saingan Liga Perdana dan itulah sebenarnya yang terjadi."

Wenger yang telah bersama Arsenal hampir 22 tahun turut menegaskan: "Tiada sebarang jaminan diberikan dalam bidang ini. Prestasi anda (pasukan) akan menentukan apa yang anda ada dan apa yang anda dapat."

"Saya telah berada di sini selama lebih dari 20 tahun. Satu perkara yang anda tidak boleh mengeluh adalah sokongan."

"Sasaran kami bukan untuk menghitung (mengira) jumlah penyokong di tempat duduk. Tugas kami aadalah untuk memberi tumpuan kepada prestasi kami dan memenangi perlawanan serta menerima penilaian daripada mereka (peminat dan penyokong)."

Bagaimanapun, beliau turut mengulas mengenai kehadiran penyokong ketika ini bagi memberikan sokongan.

"Saya sentiasa prihatin dengan keadaan stadium kami tidak penuh sepenuhnya tetapi saya tidak fikir ia akan menjadi masalah esok."

"Bagi kami esok, ianya berkaitan dengan persembahan kami dan penyokong akan berada di belakang kami."

Liga Europa yang sebelum ini kenali dengan Piala UEFA sering dilihat sebagai saingan 'peringkat rendah' berbanding dengan Liga Juara-Juara.

Walau bagaimanapun Wenger percaya bahawa saingan Liga Europa kini bukanlah seperti dahulu dan ianya semakin meningkat serta semakin mencabar.

"Saya percaya tahap Liga Europa telah meningkat.

"Jika anda lihat pasukan yang terlibat dan juga beberapa pasukan yang terkeluar seperti Dortmund, ia lebih sukar berbanding sebelum ini."

"Terutamanya kerana terdapat lebih banyak tumpuan terhadapnya (saingan Liga Europa) kerana anda mempunyai tempat untuk ke Liga Juara-Juara."


Untuk rekod, Wenger setakat ini masih belum memenangi sebarang trofi diperingkat Eropah bersama Arsenal dan pencapaian terbaik Wenger bersama Arsenal adalah pada tahun 2000 dan 2006.

Pada tahun 2000, Arsenal layak ke peringkat akhir bagi saingan Piala UEFA 2000 sebelum tewas kepada Galatasaray menerusi penentuan sepakan penalti.

Dan pada aksi final Liga Juara-Juara tahun 2006, Arsenal turut kecewa apabila tewas kepada Barcelona.

Ditanya mengenai peluang untuk memenangi Liga Europa, Wenger berkata: "Kami berada di suku akhir, secara realistik, ia adalah masih jauh untuk dilalui."

Post a Comment

Previous Post Next Post