Tottenham Hotspur kekalkan Pochettino sehingga 2023

Tottenham Hotspur kekalkan Pochettino sehingga 2023. Kredit foto : The Times

Mauricio Pochettino dilaporkan telah menandatangani kontrak baru bersama Tottenham Hotspur selepas berjaya membimbing kelab itu ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk musim ketiga berturut-turut. 




Beliau turut dilaporkan mendapat ganjaran kenaikan gaji sebanyak £3 juta untuk menjadikan beliau antara pengurus pasukan Liga Perdana Inggeris yang menerima gaji  tertinggi apabila bakal menerima sebanyak £8.5 juta setahun. 

Selain Pochettino, barisan kejurulatihan beliau turut bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang menyaksikan mereka akan kekal sehingga 2023 bersama pasukan tersebut.

Barisan kejurulatihan Pochettino terdiri daripada pembantunya iaitu Jesus Perez, Miguel D’Agostino dan Toni Jimenez.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan bahawa Pochettino enggan menerima tawaran pembaharuan kontrak bersama Spurs melainkan mendapat sokongan kelab dalam pembelian pemain baru pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dengan pembaharuan kontrak Pochettino itu, ini memberi gambaran bahawa pengerusi Spurs, Daniel Levy telah bersetuju dengan cadangan Pochettino untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan dengan mendapatkan beberapa pemain berkualiti.

“Kami telah mengadakan perbincangan yang panjang mengenai hala tuju Spurs selepas ini. Menariknya kami turut berkongsi falsafah yang sama bagi memastikan Spurs semakin berkembang dalam tempoh-tempoh tertentu."

"Saya berbesar hati kerana telah menandatangani kontrak jangka panjang yang baru ketika kami mendekati salah satu tempoh paling penting dalam sejarah kelab dan menjadi pengurus pertama yang akan membawa pasukan ini ke stadium bertaraf dunia yang baru."

"Ini adalah salah satu faktor yang membuat pekerjaan ini paling menarik dalam dunia bolasepak dan kami sudah membuat perancangan untuk memastikan kami terus berjaya dengan hasil kerja kuat yang telah disumbangkan oleh semua orang semenjak empat tahun yang lalu."

“Spurs adalah pasukan yang istimewa. Pasukan ini sentiasa menunjukkan persembahan berkualiti di dalam dan luar padang. Justeru, saya mahu perkembangan positif ini diteruskan dan berharap kami dapat menjulang trofi pada masa hadapan,” kata Pochettino.

Post a Comment

Previous Post Next Post