Jendela perpindahan musim panas bagi Liga Perdana Inggeris dibuka pada 17 Mei lalu bagi perpindahan domestik manakala bagi perpindahan melibatkan pasukan luar (international transfers) dibuka pada 9 Jun lalu dan jendela perpindahan ini bakal ditutup pada 9 Ogos 2018.
Bulan Jun masih belum berakhir dan jendela perpindahan musim panas masih jauh lagi untuk ditutup bagi sebarang pendaftaran dan pertukaran pemain dilakukan oleh kelab-kelab Liga Perdana Inggeris bagi musim 2018/19.
Dan Arsenal telahpun melengkapkan dua perpindahan pemain baru dan bakal melangkap dua lagi perpindahan pemain yang dikatakan sah menjadi milik Arsenal (walaupun pengumuman rasmi masih belum dilakukan).
Dengan kemasukan empat pemain baru itu, boleh dikatakan Arsenal hampir menyelesaikan masalah utama pada musim lalu iaitu pada bahagian pertahanan dan tengah bertahan (defensive midfielder).
Terlalu mudah buat Arsenal kali ini?
Macam senang la pulak kali ini beli pemain. |
Ketika ini, dua lagi pemain bakal diumumkan selaku pemain terbaru Arsenal dengan pemain pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos dilaporkan telah pun melepasi segala urusan perpindahan namun pihak Borussia Dortmund meminta agar urusan perpindahan ini ditangguhkan (pengumuman) ke bulan Julai nanti.
Ini adalah untuk mengimbangi akaun kewangan mereka bagi tahun kewangan baru (musim baru).
Manakala, Lucas Torreira pula dijangka bakal diumumkan selepas berakhirnya kejohanan Piala Dunia 2018 Rusia memandangkan pemain tersebut terlibat bersama pasukan kebangsaan Uruguay.
Difahamkan nilai perpindahan tersebut bakal berlaku pada sekitar £26.2 juta dengan Presiden kelab Sampdoria, Massimo Ferrero telah pun mengesahkan bahawa pemain tersebut bakal meninggalkan mereka pada jendela perpindahan musim panas ini.
Tidakkah ianya pelik melihat begitu mudah Arsenal melakukan perpindahan dan pembelian pemain kali ini?
Bukan hanya satu pembelian yang berjaya dilakukan, malahan tiga pembelian dan satu perpindahan percuma dilakukan dalam tempoh sebulan, sedangkan jendela perpindahan antarabangsa baru sahaja dibuka kira-kira tiga minggu lalu.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan betapa sengsaranya kita selaku peminat dan penyokong Arsenal menantikan pembelian dan perpindahan pemain dilakukan Arsenal setiap kali menjelang jendela perpindahan.
Bukan menafikan usaha Wenger sebelum ini, mungkin zaman Wenger ketika itu beliau terikat dengan kekangan kewangan yang begitu ketat, memandangkan hutang masih lagi ada.
Namun kemasukan Mislintat dan Sanllehi kali ini dilihat sesuatu yang lebih positif dan proaktif dalam menjalankan kerja-kerja mencari dan mendapatkan pemain yang bersesuaian dengan Arsenal.
Syabas Mislintat dan Sanllehi...serta Gazidis. |