Arsenal lantik dua muka baru terajui akademi

Arsenal lantik dua muka baru bagi membantu Per Mertesacker. Kredit foto : The Guardian.

Arsenal telah melantik dua muka baru bagi membantu Pengurus Akademi, Per Mertesacker.

Lantikan pertama adalah Marcel Lucassen sebagai ketua jurulatih dan pembangunan pemain yang bertanggungjawab keatas semua jurulatih dan pasukan (skuad) bawah 9 tahun hingga ke skuad bawah 23 tahun.
Marcel Lucassen pernah menjadi penolong jurulatih skuad U17 Jerman. Kredit foto :World Football Academy
Marcel Lucassen, merupakan jurulatih teknik dan taktik bersama FA Jerman (DFB) dan penolong jurulatih pasukan kebangsaan U-17 Jerman sebelum beliau meninggalkan Persatuan Bolasepak Jerman untuk menjadi Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak Al-Nasr FC di Dubai.

Ketika bersama FA Jerman, Lucassen bertanggungjawab sepenuhnya terhadap latihan teknik dan taktik individu bagi pasukan remaja Jerman semenjak tahun 2008.

Beliau juga membantu Christian Wück (pengurus pasukan U17 Jerman) sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan U-17 ketika menghadapi Kejohanan Eropah (remaja) pada tahun 2015 dan Jerman muncul selaku Naib Juara apabila tewas 1-4 kepada pasukan U17 Perancis.

Manakala pelantikan kedua, adalah Lee Heron yang telah menghabiskan 17 tahun bersama Reading FC, dengan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengurus Akademi Reading FC.

Lee Heron dibawa masuk ke Arsenal dari Reading bagi membantu Per Mertesacker. Kredit foto : Football.London
Mereka berdua akan bekerja bersama-sama dan membantu pengurus Akademi Arsenal yang baru iaitu Per Mertesacker.

Pada 27 Mei lalu, Mertesacker telah menceritakan bagaimana beliau akan menguruskan pasukan akademi dengan mahu menukarkan 'mindset' pemain-pemain muda sebagaimana temuramah beliau bersama Deutschlandfunl.

"Kita perlu berhati-hati supaya kita tidak menghakimi pemain terlalu awal,"

"Dunia bolasepak telah banyak berubah berbanding 15 tahun lalu. Ketika saya masih remaja, saya tidak didekati oleh ejen pada usia 13 tahun, saya tidak mempunyai perjanjian penajaan, tidak ada media sosial, saya boleh membesar dengan selesa, tidak berfikir begitu banyak."

"Melihat kepada situasi sekarang, pemain remaja kita telah dimewahkan pada usia muda. Sekarang saya mendapat banyak wang, perjanjian penajaan, adakah saya begitu hebat? Kita perlu menjaga dan mengawasi masalah dan situasi ini."

"Boleh dikatakan, bukan pemain-pemain remaja ini yang kehilangan punca, kebanyakannya adalah orang di sekeliling mereka; ibu bapa, ejen, yang benar-benar mengelirukan mereka dan membentuk peribadi dan tanggapan yang salah dalam kehidupan mereka."

"Itulah kami, sebagai kelab, sudah tentu perlu menangani dan menyelesaikan masalah tersebut. Sekiranya ianya bermula dengan bagaimana kita boleh memberikan wang yang banyak kepada siapa (pemain tertentu), maka ia sangat mudah untuk memusnahkan karier pemain (remaja). "

Semoga Per Mertesacker mampu menggilap dan membina skuad remaja dan juga pemain-pemain muda Arsenal supaya lebih berkualiti dan berdisiplin pada masa akan datang.

Dan yang penting sekali, memiliki semangat juang demi kelab... demi Arsenal.

#COYG

Post a Comment

Previous Post Next Post