Awan mendung berarak bawa tangis, Abramovich dan Conte


Ketika pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) giat memperkuatkan pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan musim depan, Chelsea pula berdepan masalah dalaman ekoran kedudukan pengurus mereka, Antonio Conte dan pemilik kelab itu, Roman Abramovich yang tidak menentu.


Selepas berjaya membawa Chelsea merangkul kejuaraan Liga EPL pada musim pertama Conte bersama Chelsea, musim lalu Chelsea hanya mampu menamatkan saingan liga dikedudukan di tangga kelima.

Dan aksi final Piala FA musim lalu juga melihatkan dimana ramai yang menjangkakan ia adalah penampilan terakhir pengurus dari Itali itu mengendalikan Chelsea meskipun berjaya mengalahkan Manchester United 1-0.

Bagaimanapun, dua minggu berlalu, masih belum ada keputusan membabitkan kedudukan Conte dengan bekas pengurus Paris Saint-Germain, Laurent Blanc dan Maurizio Sarri yang baru digantikan oleh Carlo Ancelotti di Napoli kini dikaitkan sebagai pengganti beliau di Chelsea musim depan.

Menurut laporan Vanguard, kelewatan dalam membuat keputusan itu dikatakan berpunca daripada masalah yang dihadapi jutawan Russia, Abramovich dalam memperbaharui visa British berikutan krisis diplomatik diantara London dan Moscow yang tercetus ekoran daripada pembunuhan ejen perisik Rusia yang diracun selain tindakan beberapa pihak yang mahu mengenakan sekatan ke atas jutawan Russia itu membelanjakan kemewahan miliknya di London.

Abramovich sebelum ini menjadi penyumbang dana terbesar dalam memastikan kejayaan Chelsea sejak mengambil alih kelab tersebut pada tahun 2003.

Menurut duta Israel di Rusia, Abramovich kini menjadi warganegara Israel dan sudah menetap di sana setelah mendapat kerakyatan negara itu.

Chelsea minggu lalu mengumumkan tidak akan meneruskan pelan pembangunan semula Stamford Bridge dengan kapasiti 60,000 penonton berikutan masalah pelaburan.

Sejak Abramovich mengambil alih Chelsea, kelab London itu muncul kelab England paling berjaya dengan memenangi lima gelaran liga, kejuaraan pertama Liga Juara-Juara, Liga Europa dan lima Piala FA dalam tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun mereka kini gagal menyaingi 'kekayaan' Manchester City yang 'dipayung' oleh kumpulan pelaburan tersohor Arab, Abu-Dhabi serta pendapatan yang diterima Manchester United.

Kekurangan sumber kewangan dan kawalan perbelanjaan yang ketat menyebabkan Conte mulai merungut terhadap pihak pengurusan kelab yang seterusnya menyebabkan hubungan dingin tercetus diantara mereka (Conte dan pihak pengurusan Chelsea).

Dan penjimatan kos yang dilakukan Chelsea ketika ini turut menyaksikan dimana mereka enggan membayar pampasan kepada Conte untuk baki setahun kontrak pengendali itu yang dilaporkan berjumlah £9 juta.

Begitu juga dengan cubaan untuk membawa Sarri ke Stamford Bridge, walaupun Napoli telah melantik Ancelotti namun Sarri masih terikat bersama Napoli (kontrak) sehingga tahun 2020.

Ini bermakna Chelsea perlu menebus klausa pelepasan yang bernilai lapan juta euro kecuali perjanjian itu boleh diselesaikan secara baik bersama Napoli.

Blanc pula secara tiba-tiba muncul sebagai calon utama jika Conte dilepaskan Chelsea. 

Bekas kapten Perancis itu tidak terikat dengan mana-mana pasukan / kelab semenjak meninggalkan Paris Saint-Germain dua tahun lalu. 

Akhbar Perancis, L'Equipe melaporkan bahawa Blanc berada di kedudukan utama untuk jawatan di Stamford Bridge selepas dikatakan bertemu dengan pembantu rapat Abramovich yang juga merupakan pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

Namun sehingga kini, keputusan mengenai siapakah pengendali baru Chelsea masih gagal dicapai dan Conte masih merupakan pengendali pasukan tersebut melainkan pasukan itu mampu mencapai kata putus bersama Conte secara 'win-win situasi'.

Post a Comment

Previous Post Next Post