Bekas pemain pertahanan Tottenham dedahkan sikap bermuka-muka Pochettino.

Pertahanan Perancis, Younes Kaboul (32 tahun) yang kini beraksi bersama Watford, telah menghabiskan sebahagian besar kariernya sebagai pemain pertahanan tengah di England, dengan mewakili kelab-kelab seperti Portsmouth dan Tottenham.



Beliau menyertai Spurs buat kali kedua pada tahun 2010 ketika Harry Redknapp menjadi pengurus pasukan tersebut dengan kali pertama menyertai pasukan itu pada musim 2007/08 daripada kelab Perancis, Auxerre.

Beliau beraksi selama lima musim bersama Spurs (2010-2015), dan kemudiannya berpindah menyertai Sunderland pada Julai 2015 dan setahun kemudian beliau menyertai Watford.

Bersama Spurs, beliau sempat bermain semusim dibawah kendalian Ketua Jurulatih baharu kelab itu, Mauricio Pochettino yang menggantikan  Tim Sherwood pada Mei 2014.

Dan bercakap kepada France Football, beliau telah mendedahkan mengenai Liga Perdana Inggeris dan siapakah pengurus kegemaran beliau dengan mengatakan bahawa pengurus kelahiran Argentina itu bukanlah yang digemarinya.


Beliau berkata: "Satu-satunya yang tidak berjalan lancar dan baik adalah Pochettino. Di padang, tiada apa yang hendak dikatakan, beliau seorang pengurus yang sangat baik, dengan falsafah dan gaya bermain yang berfungsi dengan baik bersama pasukan."

"Secara individu pula, ianya adalah sebaliknya. Dia bersikap bermuka-muka. Dia akan mengatakan sesuatu perkara didepan dan melakukan yang bertentangan di belakang anda. Saya tidak suka itu, dan saya memberitahunya. Sampai disini sahaja"

Ketika bersama Spurs dibawah kendalian Pochettino, beliau hanya membuat 11 penampilan bagi musim pertama pengendali kelahiran Argentina itu mengemudikan pasukan tersebut dan beliau beraksi selaku kapten pasukan dalam 10 perlawanan daripada 11 penampilan itu.

Dan Kaboul kemudiannya secara misteri hilang dari skuad itu, tidak pernah bermain ataupun membuat sebarang penampilan di Liga Perdana Inggeris di bawah Pochettino sehinggalah beliau dilepaskan kepada Sunderland.

Post a Comment

Previous Post Next Post