Pertahanan Chelsea nafi masalah dengan Conte, salahkan kecederaan dan musim buruk.

Pada hujung minggu lalu, pemain sayap Chelsea Willian membuat pengakuan jelas bahawa hubungan pemain dengan bekas pengurus pasukan, Antonio Conte tidak begitu baik.



Malah dakwaan bahawa pemain tersebut akan meninggalkan kelab jika Conte masih kekal bersama pasukan pada musim ini juga pernah dilaporkan media sebelum bermulanya musim ini.

Namun ianya sedikit berbeza dengan pendekatan yang dibuat oleh rakan sepasukan beliau, David Luiz yang dilihat seolah tidak mahu perkara tersebut disebarkan secara meluas.

Walaupun umum mengetahui hubungan buruknya dengan bekas pengurus itu, namun beliau bertindak menafikan dakwaan tersebut ketika bercakap dengan ESPN Brazil hujung minggu baru-baru ini.

Ditanya oleh wartawan Joao Castelo Branco jika terdapat sebarang masalah dengan bekas pengurus Chelsea itu, David Luiz berkata: 

"Tidak, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau, seperti yang anda katakan, musim yang buruk dengan kecederaan. Itu menghalang saya mengulangi musim cemerlang sebagaimana musim pertama bersama Conte. "

"Dan itu juga (kecederaan), kemungkinan tidak menyenangkan pengendali itu. Dan kemudian saya memberi tumpuan semata-mata kepada tahap kecergasan saya, di mana saya mendapatnya semula untuk musim ini. "

Selain itu, David Luiz juga mendedahkan bahawa beliau selesa bermain dibawah kendalian Maurizio Sarri yang mengamalkan gaya permainan 'high pressing'.

"Saya suka gayanya. Ia adalah permainan yang menekan sangat tinggi, pemilikan dan penguasaan bola yang tinggi, permainan menyerang, di mana secara taktikal anda mesti tahu apa yang perlu dilakukan pada setiap masa perlawanan. Jadi kita harus bekerja keras, saya sangat menyukainya. "

"Saya mempunyai peluang untuk bekerja dengan jurulatih yang agak serupa dengannya, seperti Jorge Jesus juga, yang suka gaya permainan dan corak sebegini. Jadi sekali lagi saya gembira, tanpa mengira 4-4-2, 4-3-3, 3-5-2, saya selalu bersedia dan gembira untuk melakukan apa yang disukai. "

Chelsea bakal menerima kunjungan Arsenal pada perlawanan liga hujung minggu ini (19 Ogos) dan perlawanan tersebut bakal dilangsungkan pada jam 12.30 pagi waktu Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post