Emile Smith Rowe tandatangani kontrak baru


Emile Smith Rowe telah menandatangani kontrak jangka panjang baru dengan Arsenal.

Pemain berusia 18 tahun itu merupakan sebahagian daripada pemain pasukan utama yang menyertai siri jelajah pra musim 2018 ke Singapura bagi aksi perlawanan pra musim baru-baru ini.

Dan beliau berjaya menjaringkan satu gol yang begitu menakjubkan ketika menentang Atletico Madrid dalam kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa.

Selain itu, beliau juga menghasilkan bantuan gol kepada Alexandre Lacazette dalam kemenangan 5-1 Arsenal ke atas PSG pada hari Sabtu (perlawanan terakhir di Singapura).
Produk Akademi Arsenal - Hale End ini menyertai Arsenal pada usia 10 tahun dan membuat 11 penampilan untuk skuad B23 tahun musim lalu selain beraksi dalam kesebelasan utama untuk skuad B18 tahun Arsenal.

Beliau membuat penampilan pertama untuk pasukan utama Arsenal pada awal bulan ini dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang Boreham Wood yang merupakan perlawanan pertama Unai Emery sebagai ketua jurulatih.
Emile merupakan salah seorang pemain skuad belia England yang mana telah memenangi Piala Dunia Bawah-17 FIFA tahun lepas di India.

"Saya gembira dengan sumbangan Emile setakat ini untuk pra-musim ini. Dia bekerja keras dan mempunyai banyak potensi. Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengannya dan pemain muda yang lain dan membantu mereka untuk berkembang sebagai pemain Arsenal. " - Unai Emery.

"Sejujurnya terasa sangat hebat untuk saya. Ia sesuatu yang selalu saya impikan sejak saya masih muda, jadi saya menandatangani kontrak baru dengan Arsenal... Saya sangat gembira dan berasa teruja buat masa ini." - Emile Smith Rowe

Walaupun tempoh kontrak tersebut tidak didedahkan, namun untuk mengekalkan beliau bagi tempoh jangka masa panjang dilihat berbaloi dengan prestasi semasa beliau.

Disamping tidak keterlaluan untuk mengatakan ketika ini bahawa beliau adalah permata baru skuad Arsenal yang dilahirkan daripada akademi Arsenal sendiri.

Dan beliau turut menanam azam untuk beraksi sebagai pemain utama skuad B23 tahun Arsenal musim depan selain mampu beraksi dalam beberapa perlawanan untuk skuad utama Arsenal.

"Untuk musim ini (2018/19) saya berharap dapat bermain untuk pasukan B23 tahun tetapi sasaran utama saya adalah untuk mendapatkan minit dalam pasukan utama, terus maju dan meningkatkan prestasi, bermain dengan baik dan memikat bos supaya saya mungkin mendapat peluang dalam Liga Perdana satu hari."

Semoga beliau terus maju dan mampu menembusi skuad utama musim depan untuk setidak-tidaknya dalam aksi Piala FA dan juga Piala Liga yang menjadi amalan biasa Arsenal sebelum ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post