Media Perancis rancak kaitkan perpindahan Olivier Giroud.

Tidak kira berapa kali Olivier Giroud mengulangi betapa gembiranya beliau berada di Chelsea, media Perancis tetap cuba dan mengaitkan beliau dengan kelab yang mampu memberikan pemain itu peluang beraksi lebih kerap.



Media Perancis ketika ini kuat mengaitkan perpindahan Giroud ke Marseille ekoran kelab tersebut dikatakan sedang mencari seorang penyerang baru namun mengikut laporan, kelab itu lebih cenderung untuk menandatangani seorang penyerang berusia 30 tahun ke bawah.

Pun begitu, mereka (media Perancis) turut mendakwa bahawa jika Marseille membawa masuk Giroud yang merupakan pemenang Piala Dunia bersama Perancis bukanlah sesuatu yang teruk untuk kelab tersebut.

Itulah sebabnya Le10 Sport masih beriya-iya melaporkan ataupun seolah-olah mendesak perpindahan itu untuk berlaku.

Mereka mendakwa kelab Ligue 1 itu akan cuba menandatangani Giroud sebelum jendela perpindahan ditutup (31 Ogos), terutamanya jika pemain berusia 31 tahun itu terus menjadi pilihan kedua Chelsea selepas Alvaro Morata.

Pada ketika ini, Giroud bukanlah sasaran utama mereka dan mereka hanya akan berbuat demikian jika mereka gagal menandatangani mana-mana penyerang muda yang berada dalam senarai pendek mereka.

Kemungkinan besar mereka bakal cuba menandatangani penyerang Nice, iaitu Mario Balotelli yang baru berusia 28 tahun.

Giroud telah mengatakan beberapa kali bahawa beliau tidak terpengaruh dengan prospek perpindahan ke Perancis, terutama selepas Chelsea telah meminjamkan Michy Batshuayi (ke Valencia) dan tidak dapat membawa masuk pengganti.

Post a Comment

Previous Post Next Post