Perkembangan positif kapten Arsenal, Laurent Koscielny menjelang pertembungan menentang West Ham.

Kapten Arsenal, Laurent Koscielny bakal membuat penampilan semula dalam kesebelasan utama lebih awal.

Perkembangan positif mengenai kapten Arsenal itu didedahkan oleh Unai Emery selepas pemain tersebut mula menjalani latihan bersama pasukan pada hari Khamis (semalam).

Sebelum ini, Koscielny dilaporkan tidak akan menjalani latihan untuk sekurang-kurangnya sehingga November ini.

Namun perkembangan positif mengenai tahap kesihatan dan kecergasan Koscielny bakal memberikan suntikan semangat kepada skuad Arsenal lebih-lebih lagi pada barisan pertahanan.

Pemain kebangsaan Perancis itu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif semenjak mengalami kecederaan tendon Achilles ketika berdepan Atletico Madrid, Mei lalu namun Emery mengesahkan bahawa beliau sudah kembali menjalani latihan.

Koscielny kembali menjalani latihan lebih awal dari jadual.
The Gunners mengharungi permulaan yang sukar tanpa kelibat Koscielny dengan bolos lima jaringan dalam dua aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan gagal meraih sebarang mata.

Emery menggandingkan Sokratis Papastathopoulos bersama Shkodran Mustafi ketika tewas 0-2 kepada Manchester City dan Chelsea 2-3 tetapi pengendali kelahiran Sepanyol itu tidak menolak kemungkinan Koscielny akan turun beraksi berdepan West Ham (menurut laporan Goal).

Emery melalui laman rasmi Arsenal mendedahkan perkembangan terkini Koscielny.

"Dia sedang bekerja keras. Dia telah mula berlatih pada minggu lalu." jelas Emery.

"Kami sangat gembira dengan kehadirannya kerana dia adalah kapten pasukan dan sentiasa menunjukkan semangat yang positif. Kami perlu bersabar kerana kecederaan yang dialaminya agak serius."

Kemenangan ke atas skuad kendalian Manuel Pellegrini malam esok bakal menyaksikan Arsenal berjaya keluar daripada rentetan kekalahan, dengan Emery turut ditanya sama ada beliau mahu mengubah strategi dengan menurunkan penyerang tambahan.

Pierre-Emerick Aubameyang telah bertindak sebagai penyerang tunggal dalam kedua-dua perlawanan pembukaan tetapi Emery berkata beliau dan pemain-pemain akan mengekalkan corak permainan yang telah ditetapkan.

"Buat masa ini, kami memerlukan lebih lagi pada kawalan permainan. Kami juga berkemungkinan akan cuba menurunkan dua penyerang seperti yang kami lakukan dalam aksi pra-musim. Kami akan melihat kepada situasi terlebih dahulu."

Post a Comment

Previous Post Next Post