Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone berminat untuk menjadi pengurus gergasi Serie A Inter Milan suatu hari nanti.
Dan menurut kakaknya yang juga ejen pengurus itu, hanya masa menentukan bilakah beliau akan mengambil alih jawatan itu.
"Beliau sayang kelab itu, atmosfera dan kehidupan di Milan. Inter adalah kelab yang sangat diminatinya untuk menjadi jurulatih,” kata Natalia Simeone kepada akhbar Itali, Gazzetta dello Sport.
Bekas pertahanan skuad kebangsaan Argentina itu beraksi bersama Inter selama dua tahun selepas menyertai Atletico Madrid pada 1997 dan menjuarai Serie A dan Piala UEFA.
Beliau kemudiannya beraksi bersama Lazio selama empat tahun sebelum kembali ke Atletico Madrid.
"Diego berkata sama ada cepat atau lambat, dia tetap akan berakhir di Inter,” kata Natalia.
"Inter adalah pasukan yang menjadi idamannya untuk menjadi jurulatih tetapi Lazio juga berada di hatinya.”
Pengurus berusia 48 tahun itu berkhidmat di Atletico Madrid pada 2011 dan walaupun timbul spekulasi perpindahannya beliau tetap melanjutkan kontrak pada musim panas lalu.
Beliau menjuarai tujuh trofi bersama kelab Madrid termasuk La Liga dan dua kali muncul juara Liga Europa serta dua kali naib juara Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016.
"Akhirnya, kesabaran pasti berbaloi,” kata Natalia.