"Mengecewakan! Tipulah jika saya tidak kecewa." Pendedahan Xhaka mengenai dakwaan terhadap beliau.

Beberapa hari yang lalu, bekas pemain pertahanan Liverpool, Stephane Henchoz menyuarakan rasa tidak puas hatinya mengenai perkembangan pasukan kebangsaan Switzerland berhubung calon ketua pasukan kebangsaan skuad negara tersebut.



Henchoz, 43 tahun memiliki 72 caps bersama Switzerland semenjak penampilan sulungnya pada 1993 sehingga 2006. 

Beliau beraksi mewakili negara tersebut pada Euro 96 dan Euro 2004 serta pada awalnya beliau turut dijangkakan beraksi pada Kejohanan Piala Dunia 2006, namun disebabkan masalah kesihatan, beliau akhirnya bersara dari bolasepak antarabangsa pada 31 Mac 2006 .

Semalam kami melaporkan dimana beliau meluahkan kebimbangannya berhubung calon kapten pasukan kebangsaan Switzerland apabila Granit Xhaka menjadi salah seorang calon utama yang mungkin menjadi pilihan pengendali pasukan negara itu, Vladimir Petkovic.


Henchoz mempersoalkan latar belakang Xhaka yang berketurunan Albania mengatakan pemain tengah Arsenal itu tidak layak untuk memimpin pasukan kebangsaan negara itu lebih-lebih lagi tindakan pemain tersebut yang meraikan gol dengan mengayakan 'Helang Albania'.

Dan Henchoz secara terang-terangan menyatakan bekas bintang Borussia Monchengladbach itu tidak mewakili negara dan penduduknya.

Dalam temubual yang disiarkan oleh Aargauer Zeitung, Xhaka menjelaskan dimana dakwaan beliau tidak layak menjadi kapten pasukan Switzerland itu tidak mengganggu beliau namun beliau amat kecewa apabila dikatakan tidak 'mewakili' negara itu dan penduduknya.

"Tuduhan profesional itu tidak mengganggu saya, tetapi ia menjadi buruk apabila mereka menuduh saya tidak mewakili Switzerland yang 'sebenar'."

"Pedih! Saya berbohong jika saya tidak mengatakan begitu."

"Saya dilahirkan dan dibesarkan di Switzerland. Hakikat bahawa saya mempunyai dua hati dalam diri saya adalah fakta, yang mana saya tidak dapat menafikan hal itu."

"Tetapi saya telah menyarung jersi negara ini, rumah saya, selama hampir sembilan tahun!"

"Tuduhan yang saya tidak memihak kepada Switzerland adalah tidak sah. Di Gladbach atau London, saya adalah Switzerland yang dihormati dan tiba-tiba saya hanya separuh Switzerland? Ya, ianya amat menyakitkan saya, itu memberi kesan kepada saya. Sukar untuk dihadam."

Xhaka juga memohon maaf sekali lagi atas gaya meraikan gol 'Helang Albania' dengan menyatakan bahawa beliau  tidak berhasrat untuk melakukan dengan niat jahat dan tidak mahu menyakiti mana-mana pihak terutamanya warga Switzerland.

Mengenai sama ada beliau merupakan orang yang tepat untuk menggantikan Stephane Lichtsteiner sebagai kapten pasukan kebangsaan Switzerland, beliau berkata: 

"Armband kapten akan mengisi saya dengan penuh kebanggaan, tetapi saya tidak memerlukan peranan itu dalam memikul tanggungjawab dalam permainan. Saya bercakap, saya menjerit, saya beraksi bersama pemain muda dan tua bersama saya."

Post a Comment

Previous Post Next Post