Bekas pemain Arsenal tidak yakin The Gunners mampu menjuarai liga.

Bekas pemain Arsenal yakin The Gunners tidak mampu bersaingan dalam merebut kejuaraan liga walaupun mempamerkan prestasi cemerlang baru-baru ini.



Sebelum perlawanan menentang Leicester City pada Isnin baru-baru ini dan sebelum Arsenal mencatatkan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam kesemua kejohanan yang disertai musim ini, Emmanuel Petit telah mengeluarkan pendapat beliau mengenai cabaran skuad kendalian Unai Emery.

Mengambil alih dari Arsene Wenger pada musim panas tahun ini, Emery mempunyai tugas yang sangat berat untuk dipikul beliau dalam mengembalikan keyakinan para penyokong terhadap prestasi dan kemampuan The Gunners.

Walaupun bermula dengan kekecewaan, namun bekas pengendali PSG ini dilihat mampu melakukannya dengan baik apabila mencatatkan kemenangan dalam kesemua perlawanan selepas mengalami kekalahan dalam dua aksi pembukaan musim ini.

Petit bersama Arsenal dari tahun 1997–2000 dan memenangi Juara Liga serta Piala FA (97-98), Piala Perisai Komuniti 1998 dan 1999.
Pun begitu, ianya masih belum cukup untuk menyakinkan sebilangan penyokong dan pemerhati bolasepak termasuklah bekas pemain Arsenal sendiri, Emmanuel Petit.

Bercakap kepada RMC Sport di Perancis, bekas pemain berusia 48 tahun itu berkata: 

"Untuk podium, ya, tapi bukan gelaran. Sekalipun mereka beraksi dengan hebat, dengan sembilan kemenangan dan mereka telah membaiki bahagian pertahanan, saya masih yakin mereka tidak mempunyai skuad yang mencukupi atau karekter untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang mampu memenangi gelaran."

“Mereka kekurangan pilihan jika beberapa pemain utama mereka cedera. Mereka juga telah berjaya merampas beberapa kemenangan daripada kekalahan.”

Walaupun pandangan Petit itu dilihat agak keras, namun dalam beberapa perlawanan terakhir Arsenal seperti menentang Fulham dan Qarabag, The Gunners telah memenangi perlawanan tersebut dengan selesa serta tidak mengalami masalah dalam menundukkan lawan mereka.



Begitu juga dengan perlawanan seterusnya, selepas menewaskan Leicester, Arsenal dilihat tidak begitu bermasalah untuk mencatatkan kemenangan bagi tiga perlawanan berikutnya - menentang Sporting (Liga Europa), Crystal Palace (Liga Perdana) dan Blackpool (Piala Carabao).



Berdasarkan prestasi semasa dan lawan yang bakal dihadapi skuad The Gunners, ianya tidak begitu mustahil untuk mereka mencatatkan 13 kemenangan berturut-turut sebelum bertemu Liverpool pada 4 November bagi aksi Liga Perdana.

Cabaran sebenar Unai Emery ketika ini bakal diuji ketika bertemu skuad Jurgen Klopp dilaman sendiri dan ianya bukanlah sesuatu yang mustahil buat Arsenal untuk menewaskan Liverpool.



*Penulis tetap dan sentiasa yakin dengan kemampuan Arsenal.

#COYG

Post a Comment

Previous Post Next Post