Arsenal tunjuk minat untuk menandatangani pemain percuma Liverpool.

Arsenal dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain yang diberikan pelepasan oleh Liverpool.



Minggu lalu, laporan dari Estadio Deportivo mendakwa bahawa pemain pertahanan Liverpool, Alberto Moreno lebih mengutamakan keluarga beliau dan pilihan utama permain pertahanan itu adalah untuk kembali semula bersama Sevilla.

Kontrak semasa beliau di Anfield bakal berakhir pada penghujung musim dan setakat ini beliau dikatakan tidak berhasrat untuk menandatangani perjanjian baru bersama kelab tersebut.

Manakala sebuah lagi media Sepanyol, El Gol Digital mendakwa bahawa pemain pertahanan kiri itu 'diberikan' pelepasan oleh The Reds dan mereka juga mendakwa bahawa pemain itu tidak akan kekal bersama skuad Jurgen Klopp sebelum musim panas akan datang.

Ini memberi peluang kepada mana-mana kelab dalam membuat pendekatan terhadap pemain Sepanyol itu untuk perpindahan percuma, terutamanya kepada kelab Sepanyol.

Dari England, nama Arsenal telah disebutkan dan ia mendakwa bahawa The Gunners telah menunjukkan minat terhadap pemain berusia 26 tahun itu, tetapi ia juga mendakwa Moreno tidak memikirkan tentang menyertai kelab Utara London kerana beliau sebolehnya mahu kembali ke Sepanyol.

Namun, sekiranya beliau membuat pilihan dengan menyertai The Gunners, beliau mungkin menjadi pengganti kepada Nacho Monreal di Emirates.

El Gol Digital menyebut bahawa Moreno tidak berhasrat untuk bergabung semula dengan bekas kelabnya (Sevilla) jika hanya untuk memanaskan bangku simpanan dan jika beliau percaya bahawa hal itu akan berlaku, pemain itu dilaporkan akan mempertimbangkan tawaran dari Atletico Madrid yang kini dikatakan sedang mencari pengganti kepada Filipe Luis.

Post a Comment

Previous Post Next Post