Piala AFF Suzuki 2018: Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk hidupkan peluang.

Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk memaksa perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Kebangkitan penuh dengan debaran ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya pada perlawanan  Akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018.

Perlawanan yang menjanjikan satu debaran dengan disaksikan oleh hampir 90 ribu penyokong yang memenuhi Stadium Bukit Jalil dimana skuad Tan Cheng Hoe terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-22 apabila Nguyen Huy Hung menyempurnakan peluang terhidang setelah keadaan kelam kabut didepan gawang gol Malaysia.

Hanya tiga minit selepas gol pembukaan dijaringkan, Vietnam berjaya menambah jaringan untuk mendahului perlawanan 2-0 hasil jaringan Pham Duc Huy yang merembat masuk menewaskan Farizal dari jarak 25 ela.
Namun, sembilan minit menuju rehat separuh masa, Harimau Malaya berjaya merapatkan jurang hasil tandukan Shahrul Saad yang menerima hantaran daripada Syamer Kutty, berpunca daripada sepakan percuma disudut kanan gawang Vietnam.
Pasukan pelawat berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-57 namun Farizal bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi dengan menafikan usaha Nguyen Tien Linh dalam situasi satu lawan satu.

Farizal bertindak cemerlang menafikan usaha Vietnam.
Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan tepat sejam perlawanan berlangsung setelah Safawi Rasid menjaringkan gol menarik melalui tendangan bebas di luar kotak penalti Vietnam untuk mengalahkan semua pemain lawan termasuklah penjaga gol mereka, Dang Van Lam.
Dengan keputusan seri 2-2 di halaman sendiri, Harimau Malaya berdepan tugas getir di Hanoi apabila bertandang ke sana bagi aksi kedua perlawanan Akhir Piala Suzuki 2018 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, 15 Disember jam 8.30 malam waktu Malaysia.

MALAYSIA: Farizal Marlias, Amirul Azhan Aznan (Syafiq Ahmad 59’), Irfan Zakaria, Shahrul Saad, Nazirul Naim (Adam Nor Azlin 41’), Mohamadou Sumareh, Akram Mahinan, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Norshahrul Idlan Talaha (Akhyar Rashid 71’), Zaquan Adha.

VIETNAM: Dang Van Lam, Do Duy Manh, Tran Dinh Trong, Que Ngoc Hai, Nguyen Trong Hoang, Nguyen Huy Hung, Pham Duc Huy (Nguyen Cong Phuong 76’), Doan Van Hau, Phan Van Duc (Do Hung Dung 86’), Nguyen Quang Hai, Ha Duc Chinh (Nguyen Tien Linh 53’).

Post a Comment

Previous Post Next Post