Setan Merah yakin layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan

Manchester United masih mampu layak ke Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan pertama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, menurut pemain pertahanan kiri, Luke Shaw.


United menang 5-1 di Cardiff dalam aksi pertama sejak Jose Mourinho dipecat dan bekas penyerang mereka, Solskjaer dilantik menjadi pengendali sementara.

Mereka kini di kedudukan keenam dalam Liga Perdana, lapan mata di belakang Chelsea di tempat keempat.

"Sudah pasti kami mahu empat teratas dan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan,” kata Shaw.

"Saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh layak jika kami terus mengekalkan prestasi seperti ketika membenam Cardiff semalam.”

United mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini menentang Paris St-Germain.

Shaw beraksi penuh menentang Cardiff tetapi sebelum itu dia digugurkan oleh Mourinho dalam tiga aksi terakhir liga.

Pertahanan England itu di antara beberapa pemain United yang tidak ‘digemari’ pengurus dari Portugal itu sepanjang tempoh dua setengah tahun dia bertugas.

"Penyokong mungkin dengan cepat melupakan apa dilakukan Jose kepada United - tiga trofi kejuaraan dimenangi, banyak disumbangkannya,” kata Shaw merujuk kepada kejayaan menjulang Perisai Komuniti, Liga Europa dan Piala FA pada musim pertama dia menjadi jurulatih pada 2016-17.

"Salah satu trofi (Liga Europa) tidak pernah kami menangi sebelum ini dan dia membawa kami menjulang tiga trofi dalam satu musim. Jadi penyokong perlu menghormati Jose dan mengingati apa yang telah dilakukannya.”

Sumber asal : BBC

Post a Comment

Previous Post Next Post