Kala malam bulan mengambang... The Gunners dan Unai Emery.

SELEPAS lebih dua dekad Arsenal dibawah pemerintahan Arsene Wenger, akhirnya pada musim 2018/19 The Gunners bermula dibawah pengendali baharu, Unai Emery.


Enam bulan tempoh diharungi Unai Emery sejak mula mengendalikan skuad peninggalan 'atok', kini mula kedengaran suara-suara 'ghaib' meminta beliau 'keluar' daripada Emirates.

Kedatangan bekas pengendali PSG itu ke Emirates pada awalnya tidaklah begitu mengujakan perasaan peminat dan penyokong The Gunners memandangkan rekod beliau sebelum ini tidaklah begitu memberangsangkan.


Beliau gagal mencipta nama dipentas Eropah bersama PSG walaupun memiliki pasukan yang dikira mantap dan hanya mampu 'bermaharajalela' di dalam saingan domestik dengan mengungguli Juara Liga Perancis, Piala Liga Perancis, Piala FA Perancis - Coupe de France, dan Piala Sumbangsih - Trophée des Champions pada musim 2017/18.

Rekod Unai Emery bersama PSG musim 2017/18
Saingan Rekod P M S K J B +/- % Kemenangan
Ligue 1 Juara 38 29 6 3 108 29 +79 76.32
Coupe de France Juara 6 6 0 0 22 5 +17 100.00
Coupe de la Ligue Juara 4 4 0 0 12 4 +8 100.00
Trophée des Champions Juara 1 1 0 0 2 1 +1 100.00
Champions League Round of 16 8 5 0 3 27 9 +18 62.50
JULAH 57 45 6 6 171 48 +123 78.95



Cuma rekod menjuarai tiga kali berturut-turut Liga Europa menjadi sandaran buat peminat dan penyokong untuk melihat beliau mengembalikan kegemilangan Arsenal yang kelihatan 'nazak' dalam tempoh dua musim kebelakangan ini.


Arsenal, juara Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali semenjak liga utama Inggeris itu menerima penjenamaan semula pada 1992, gagal melayakkan diri dalam saingan tertinggi Eropah, Liga Juara-Juara buat dua musim berturut-turut.

Walaupun beraksi didalam saingan kedua tertinggi Eropah, Piala Europa, namun The Gunners tetap gagal menjulang trofi kejohanan apabila terkandas diperingkat separuh akhir pada musim pertama beraksi dalam saingan tersebut.

Bagaikan Saleh dalam cerita Kala Malam Bulan Mengambang, dimana watak yang dipikul Rosyam Nor itu berusaha untuk menyelesaikan misteri yang menyelubungi pekan Senduduk Rimbun, begitulah tanggungjawab yang dipikul Emery ketika dilantik menggantikan Wenger.


Emery mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan kegemilangan The Gunners disamping meneruskan legasi yang menjadi 'pegangan' barisan kepimpinan tertinggi Arsenal iaitu belanja dengan berhemah.


Bermula dengan kekalahan dalam dua perlawanan pembukaan musim, prestasi tersebut menerima reaksi berbeza daripada golongan 'menyokong' setelah prestasi seteru Arsenal di London, Chelsea berjaya mempamerkan dan bermula lebih baik dibawah kendalian pengurus baharu mereka, Maurizio Sarri.

Namun Emery kemudiannya berjaya merekodkan 22 perlawanan tanpa kalah menyebabkan sekali lagi golongan 'menyokong' memberikan reaksi berbeza.

Pun begitu, kecundang 5-1 kepada Liverpool dalam aksi terkini saingan liga mengundang kemarahan dan reaksi penuh kecewa mereka yang 'menyokong' sehingga kedengaran laungan 'Emery Out'.

Selepas mengharungi 20 perlawanan musim ini yang merupakan musim pertama Emery bersama Arsenal, terdapat sedikit perkara positif berbanding musim lalu.


Sememangnya tidak adil untuk menilai Emery ketika ini dan juga tidak adil untuk membandingkan pengendali baharu Arsenal itu bersama pengendali baharu pasukan lain, terutamanya pasukan-pasukan besar Liga Perdana Inggeris.

Berdasarkan rekod 20 perlawanan pertama Emery musim ini jika dibandingkan musim lalu, sesuatu yang pasti adalah pada barisan pertahanan.

Walaupun dari segi perbezaan jaringan dan bolos ianya mengumpul jumlah yang sama sebagaimana musim lalu, namun ianya amat merisaukan ketika ini lebih-lebih lagi dengan kecederaan beberapa pemain utama.

Pengendali M S K J B +/- Mata
Unai Emery 11 5 4 42 30 +12 38
Arsene Wenger 11 4 5 37 25 +12 37

Secara kasarnya tidak banyak beza sebenarnya musim ini dengan musim lalu, setakat ini.

Dan sudah pasti Emery memerlukan masa dalam membina dan membentuk skuad yang mantap selepas mengambil alih daripada Arsene Wenger.

Yang menjadi persoalan adakah Emery dilantik sebagai langkah sementara Arsenal selepas gagal mendapatkan pengendali yang diimpikan?

Rekod 20 perlawanan pertama Emery bersama Arsenal bagi musim 2018/19 - EPL.
Rank Saingan P M S K J B +/- Mata
1 Liverpool 20 17 3 0 48 8 +40 54
2 Manchester City 20 15 2 3 54 16 +38 47
3 Tottenham Hotspur 20 15 0 5 43 21 +22 45
4 Chelsea 20 13 4 3 38 16 +22 43
5 Arsenal 20 11 5 4 42 30 +12 38
6 Manchester United 20 10 5 5 41 32 +9 35

Rekod 20 perlawanan musim lalu (2017/18) dibawah kendalian Arsene Wenger.
Rank Pasukan P M S K J B +/- Mata
1 Manchester City 20 19 1 0 61 12 +49 58
2 Manchester United 20 13 4 3 43 16 +27 43
3 Chelsea 20 13 3 4 34 14 +20 42
4 Liverpool 20 10 8 2 46 23 +23 38
5 Tottenham Hotspur 20 11 4 5 39 20 +19 37
6 Arsenal 20 11 4 5 37 25 +12 37

Mampukah Emery melakukan dan mencipta keajaiban di Emirates?

Ataupun mampukah Emery merungkai 'misteri' di Emirates sebagaimana Saleh merungkai misteri Senduduk Rimbun?


Adakah akan muncul Profesor Sejarah (Dr. Rusdi) yang membantu Saleh, begitu juga Emery?

Jangan sampai Mohinder datang menyiasat

Post a Comment

Previous Post Next Post