AC Milan terus meng'Arsenal'kan kelab mereka.

AC MILAN terus meng'Arsenal'kan kelab mereka apabila mengambil seorang lagi staff Arsenal iaitu Ketua Strategi Perniagaan, James Murray.



Selepas berjaya mendapatkan CEO Arsenal, Ivan Gazidis yang telah memulakan tugasnya di San Siro pada 1 Januari 2019, Rossoneri terus memperkukuhkan barisan belakang tabir mereka apabila menandatangani dua lagi staf baharu.

Pengambilan Ketua Strategi Perniagaan Arsenal dan Pegawai Hasil Fulham, dilihat sebagai langkah Milan untuk memperkemaskan pengurusan kelab selepas Paolo Scaroni mengambil alih tampuk pemerintahan kelab tersebut daripada Li Yonghong pada 21 Julai 2018.

Paolo Scaroni, Pengerusi AC Milan.
Melalui laporan yang diterbitkan pada laman rasmi kelab, AC Milan telah mengumumkan bahawa mereka telah melantik dua staf baharu dalam usaha mereka untuk membantu Ivan Gazidis bagi memperkemaskan jentera pengurusan Rossoneri.



Ketua Pegawai Hasil daripada Fulham, Casper Stylsvig telah dilantik dengan peranan yang sama di Milan (Ketua Pegawai Hasil) dan sebelum menyertai kelab Inggeris itu, beliau pernah bekerja di Manchester United dan Barcelona, ​​yang ditugaskan untuk mencari peluang penajaan untuk kelab.

Kenyataan rasmi Milan menjelaskan bahawa Stylsvig akan dipertanggungjawabkan untuk memacu jualan dan meningkatkan pendapatan kelab.

Manakala seorang lagi staf baru dilantik Milan, James Murray yang sebelum ini bertindak sebagai Ketua Strategi Perniagaan di Gunners, dijangka akan bertindak dalam membangun dan memacu semua objektif strategik kelab.

Milan semenjak dipimpin oleh Scaroni, telah memulakan era baru dalam mengembalikan kegemilangan kelab tersebut dan langkah pengambilan staf baharu ini adalah sebahagian daripada plan tindakan mereka bagi memulihkan imej serta pendapatan kelab.

Bekas CEO Arsenal, Ivan Gazidis yang kini menjawat jawatan sama di Milan dipetik sebagai berkata:

"Bagi pihak Lembaga dan seluruh komuniti AC Milan, saya mengalu-alukan James (Murray) dan Casper (Stylsvig) ke kelab. Mereka berdua adalah pemimpin yang cemerlang dengan kemahiran diperingkat tertinggi dan pengetahuan mendalam tentang persekitaran bolasepak. Bersama-sama dengan pasukan yang ada sekarang, mereka akan membantu memacu kelab ke depan, dengan kecemerlangan dan semangat yang layak untuk kelab ini. "

Post a Comment

Previous Post Next Post