Unai Emery tidak terganggu dengan rekod yang dimiliki beliau setakat ini.

"Tumpuan saya ketika ini adalah perlawanan seterusnya" - Unai Emery

Unai Emery telah merekodkan perlawanan ke-50 untuk Arsenal pada awal pagi Jumaat dengan mengalahkan Napoli untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Europa.



Dengan rekod beliau yang berjaya mencatatkan 32 kemenangan dan tujuh seri dalam 50 perlawanan pertama untuk Arsenal, pencapaian tersebut merupakan yang terbaik berbanding mana-mana bekas pengurus pasukan The Gunners sebelum ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu memikul tugas berat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengurus paling lama menguruskan Arsenal, Arsene Wenger, namun beliau akhirnya telah melakukan sesuatu yang mengagumkan dalam kempen pertamanya di England.

Emery telah memenangi 32 daripada 50 perlawanan pertamanya selaku pengendali Arsenal, sembilan kali lebih banyak daripada pengendali sebelumnya (Wenger) dan empat kali lebih banyak daripada pengurus lain dalam sejarah kelab.

George Allison merupakan pengurus kedua yang menikmati permulaan terbaik selaku pengendali Arsenal.

Beliau memenangi 28 daripada 50 perlawanan pertamanya selaku pengurus The Gunners, sementara George Graham dan Herbert Chapman sekadar mencatatkan 27 kemenangan.

Sementara itu, Wenger hanya memenangi 23 daripada 50 perlawanan pertamanya setelah mengambil alih The Gunners pada Oktober 1996, jumlah yang sama dengan Don Howe.

Dengan rekod yang dimiliki Emery itu, kini tumpuan sudah tentu terarah kepada pencapaian beliau dalam menambah koleksi trofi Arsenal musim ini.

Dan kemenangan di Naples Jumaat lalu, memberikan harapan kepada peminat dan penyokng The Gunners untuk melihat penambahan koleksi trofi dengan memenangi Liga Europa, selain ingin menyaksikan rekod kecemerlangan Emery di Emirates diteruskan.



Pun begitu, tumpuan pengendali Arsenal itu sedikit pun tidak terjejas dengan pencapaian yang direkodkan beliau itu.

Emery menjelaskan dimana beliau ketika ini mahu memenangi semua perlawanan yang dihadapinya selain menikmati kejayaan bersama penyokong The Gunners.

"Saya mahu memenangi semua perlawanan yang saya mainkan. Saya mahu berada di sini dengan kemungkinan untuk memenangi sesuatu yang penting bersama Arsenal." jelas Emery sebagaimana dipetik dari laman Arsenal.

"Saya gembira diatas semua itu, pun begitu saya juga gembira kerana menerima rasa hormat dari semua pihak terhadap saya dan juga saya fikir, kita berada dalam proses kami dan memperbaiki, menyelesaikan akhir musim dengan dua objektif yang sangat jelas.

"Dan ia adalah di tangan kita untuk buat sesuatu yang penting.

"Ketika ini, fokus saya hanya pada saat ini, tumpuan saya adalah pada perlawanan seterusnya dan ingin memenangi serta menikmatinya bersama penyokong kami di Emirates."

Selain itu juga, Emery turut menegaskan bahawa beliau berbangga dengan barisan pemain, kelab dan penyokong serta memberi peringatan kepada pemain-pemain beliau supaya memberikan 100 peratus komitmen pada perlawanan seterusnya.

Emery juga mengatakan bahawa beliau sedar tugas yang dipikul beliau ketika ini terlalu berat setelah apa yang dilakukan oleh Arsene Wenger terhadap kelab.

Mengakui bahawa bekas pengendali The Gunners itu telah banyak melakukan perubahan terhadap kelab, sehinggakan berjaya menjadikan Arsenal sebuah kelab yang besar, Emery menegaskan bahawa menjadi tugas beliau untuk meneruskan proses yang ditetapkan dan ditinggalkan sebelum ini, selain meneruskan kegemilangan kelab dan menjadikan sebuah kelab yang harmoni.

#COYG

Post a Comment

Previous Post Next Post