PELUANG Henrikh Mkhitaryan beraksi dipentas final Liga Europa masih samar dengan faktor keselamatan beliau masih belum mendapat jaminan UEFA.
Arsenal mengakui mereka sangat prihatin mengenai peluang Henrikh Mkhitaryan untuk beraksi pada perlawanan akhir Liga Europa menentang Chelsea dan boleh kehilangan khidmat pemain itu kerana ketegangan berterusan di antara Armenia dan Azerbaijan.
Kedudukan bandar Baku dan kawasan bergolak diantara Armenia dan Azerbaijan. |
Kapten Armenia itu terlepas aksi awal The Gunners ketika perlawanan menentang Qarabag di ibukota Azerbaijan di Baku kerana masalah tersebut.
Dan ianya sekali lagi menjadi masalah (yang sama) apabila bandar yang ditetapkan menjadi tuan rumah perlawanan akhir berada di Baku, di negara yang sama sebagaimana Qarabag.
Ketegangan di rantau Nagorno Karabakh yang dipertikaikan masih berterusan walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan pada tahun 1994, selepas pertempuran (perang) meletus beberapa tahun sebelum itu.
Ketegangan dan peperangan wilayah bergolak Nagorno Karabakh bermula semenjak tahun 1988. |
Arsenal berkata dalam satu kenyataan (sebagaimana dipetik dari laman Sky News):
"Keselamatan dan kawalan keselamatan pemain kami sangat penting."
"Kami mahukan jaminan dari UEFA bahawa ia akan selamat buat Henrikh Mkhitaryan untuk pergi ke Baku bagi perlawanan akhir Liga Europa, yang mana kedua-dua pihak Arsenal dan Micki memerlukannya (jaminan keselamatan) untuk dimasukkan ke dalam skuad kami.
"Jaminan yang diharapkan masih belum diterima dan kami berharap UEFA dapat memberikannya dengan segera.
"Kami sememangnya sangat prihatin bahawa lokasi perlawanan akhir dapat menyebabkan Micki tidak mampu bermain di perlawanan akhir Eropah. "
Ketegangan diantara kedua-dua negara itu turut menyaksikan Mkhitaryan sebelum ini, juga terlepas aksi ketika bermain untuk Borussia Dortmund bagi perlawanan Liga Europa menentang Gabala, pada Oktober 2015.
Arsenal berjaya mara ke final Liga Europa selepas menewaskan Valencia 7-3 secara aggregate di peringkat separuh akhir.
Lawan yang menanti The Gunners dipentas final nanti adalah seteru London mereka Chelsea, yang mengalahkan Eintracht Frankfurt 4-3 menerusi penalti di separuh akhir setelah terikat 2-2 secara aggregate.